Buletin

DATSUN BAKAL HIDUP KEMBALI SEBAGAI JENAMA EV BAJET?

Kurang 10 tahun Datsun dihidupkan sebagai sebagai satu jenama mampu milik di beberapa pasaran membangun, Nissan mengambil keputusan untuk menghentikan pengeluaran dan jualannya.

Pada tahun 2013, jenama Datsun dilancarkan semula di Rusia, Indonesia, India, Afrika Selatan dan Nepal. Malangnya kereta Datsun kini tidak lagi dipasang atau dijual di pasaran tersebut.

Namun, itu tidak bermakna Datsun akan terus berkubur selama-lamanya. Ini kerana timbul khabar angin bahawa jenama itu bakal digunakan semula oleh Nissan.

Memetik laporan Automotive News, Nissan kini sedang menimbang untuk menggunakan nama Datsun sebagai jenama kereta elektrik (EV) bajet pada masa depan.   

“Sehingga kini, Datsun masih terus menawarkan pengalaman pemanduan, ketenangan fikiran dan nilai terbaik kepada puluhan ribu pemilik di seluruh dunia.

“Sebagai sebahagian daripada strategi transformasi global, Nissan akan memberi fokus kepada model-model dan segmen penting yang memberi manfaat kepada pelanggan, pengedar dan perniagaan,” jelas Nissan dalam satu kenyataan.

Harus tahu bahawa Datsun masih menjual baki keretanya dan tidak lagi menghasilkan model baharu. Ini bermakna pengedar akan kehabisan produk untuk dijual tidak lama lagi. Justeru, Nissan perlu berbuat sesuatu.

Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi kini memiliki rangkaian EV murah dalam portfolionya. Sebagai contoh, Dacia Spring yang dilancarkan di Perancis tahun lalu hanya berharga €12,403 (RM56,700) seunit. Maka, logik juga jika Nissan melancarkan EV berkenaan dengan jenama Datsun satu masa nanti.

Google ads
Back to top button