
NISSAN SAH TAMATKAN PRODUKSI DATSUN GO & GO+ MULAI JANUARI 2020 DI INDONESIA
Nissan Motor Indonesia (NMI) sah akan menamatkan pengeluaran model Datsun Go and Go+ di Plant 2 di kilangnya di Purwakarta, Jawa Barat bermula Januari 2020.
Perkara itu didedahkan oleh seorang vendor komponen yang menyertai satu mesyuarat serantau NMI di Jakarta baru-baru ini.
“Kami semua diminta untuk mematikan telefon bimbit pada sesi pembentangan itu. Kemudian syarikat mengumumkan ia akan menamatkan produksi pada Januari 2020,” kata sumber kata agensi berita kompas.com
Berdasarkan kepada pembentangan NMI, Datsun bagaimanapun akan mengekalkan operasinya di sana dan bergantung kepada model-model sedia ada seperti MPV Livina dan model imports dari Thailand.

Pengarah Besar, Kementerian Industri Maritim, Pengangkutan dan Peralatan Pertahanan Indonesia, Putu Juli Ardika mengesahkan pengurangan produksi kereta Datsun.
NMI telah menghantar laporan kepada kementerian menjelaskan bahawa Datsun adalah penting kepada industri komponen automotif.
“NMI akan memberi fokus kepada lokalisasi komponen-komponen utama untuk Livina dan enjin Xpander. Komponen tersebut sebelum ini dihasilkan di Jepun. Mereka juga mahu membangunkan teknologi elektrifikasi,” jelas Putu.
Persatuan Pengeluar Automotif Indonesia (Gaikindo) merekodkan Datsun hanya menjual 2,388 unit kenderaan pada tahun 2018. Angka itu dilihat kecil memandangkan jualan segmen yang disertainya adalah melebihi 200,000 unit setahun.
Sejak itu, Datsun tidak pernah berjaya untuk pulih. Dari Januari hingga September 2019, hanya 1,862 unit kereta Datsun terjual.
Datsun memulakan produksi pada tahun 1931 dan menghentikan sementara operasinya pada tahun 1986. Pada 2012, Nissan menghidupkan kembali jenama Datsun sebagai kereta kos rendah di Indonesia, Afrika Selatan, India dan Rusia.
Nissan turut mengembangkan jenama Datsun ke lebih banyak pasaran termasuklah Kazakhstan (2015), Belarus dan Lebanon pada tahun 2016.