;
Artikel Pilihan

DUA IKON LAMBORGHINI – VALENTINO BALBONI DAN LAMBORGHINI COUNTACH

Dua nama di atas memang tidak asing bagi peminat Lamborghini. Lamborghini Countach merupakan supercar paling eksotik dan futuristik dikeluarkan oleh Lamborghini seawal tahun 80-an. Valentino Balboni pula merupakan ketua pemandu uji Lamborghini yang yang paling lama dan terkenal.

Pengaruh Balboni begitu besar sehinggakan Lamborghini pernah mengeluarkan model edisi khas menggunakan nama beliau iaitu Lamborghini Gallardo LP550-2 Balboni Edition. Beliau yang berkhidmat lebih 40 tahun dengan Lamborghini cukup mengenali setiap model yang keluar dari kilang Lamborghini luar dan dalam. Balboni bersara pada 2008 bukannya disebabkan sudah bosan dengan kerjaya beliau tetapi kerana mematuhi akta pekerjaan yang ditetapkan kerajaan Itali.

Pautan video di bawah memaparkan Balboni dengan sebuah Lamborghini Countach QV tahun 1986 yang dihasilkan khusus untuk CEO Lamborghini pada masa itu. Ia merupakan sebuah model berwarna merah gelap dengan rim berwarna emas. Digabungkan dengan lampu pop-up yang ikonik, inilah supercar terhebat pada zaman itu.

BACA: NOSTALGIA LAMPU POP-UP (DAN TERIMA KASIH PERATURAN YANG MEMBUNUHNYA)

Selain daripada itu Balboni turut menceritakan sedikit sebanyak permulaan hubungan beliau dengan Lamborghini. Beliau memulakan kerjaya sebagai mekanik pelatih di syarikat pengeluar supercar Itali itu. Itupun setelah disuruh oleh bapa beliau (lepas ni kalau ibu bapa suruh tu buat je, berkat hidup tahu). Balboni melakukan semua kerja diarahkan mekanik senior pada ketika itu seperti menyapu lantai dan membersihkan kawasan pengeluaran sehinggalah beliau menjawat jawatan terakhir sebagai ketua pemandu uji Lamborghini.

Kini Balboni masih lagi berkhidmat sebagai penasihat Lamborghini secara kontrak dan mengeluarkan produk aftermarket untuk Lamborghini dengan nama beliau sendiri (VB). Antaranya ialah ekzos titanium buatan tangan yang dikeluarkan dalam jumlah yang cukup terhad dan memakan masa 350 jam untuk disiapkan. Harganya? Memang kena kumpul habis la buah pinggang orang kampung.

Tags
Google ads
Back to top button