Artikel Pilihan

VEILSIDE 4509 GTR – KISAH SUPRA BERBAJU BENTLEY

Sebelum Wataru Kato (Liberty Walk), Kazunori Ueta (BenSopra) dan Akira Nakai (Rauh-Welt Begriff) berjaya mengukir nama, sebenarnya ada beberapa lagi tuner dari Jepun yang pernah menggegar dunia dengan ciptaan mereka yang agak radikal. Salah satu nama tersebut adalah VeilSide, yang cukup terkenal dengan kit badan Fortune untuk Mazda RX7 FD3S, selepas kemunculannya dalam filem The Fast and the Furious: Tokyo Drift.

Kepada yang kurang maklum, VeilSide Company Limited merupakan sebuah syarikat talaan automotif Jepun yang menyediakan khidmat tingkat taraf, termasuk pengubahsuaian estetika. Ditubuhkan di Ibaraki oleh Yokomaku Hiranao pada tahun 1990, ia wujud hasil susunan nama beliau, iaitu Yoko (side) dan Maku (veil).

Selain kit badan Fortune, VeilSide juga pernah menghasilkan sebuah Toyota Supra MK IV (JZA80), untuk dipamerkan di Tokyo Auto Salon 2011. Diberi jolokan nama VeilSide 4509 GTR, ia diinspirasikan dari model Bentley Continental, bertujuan untuk memberi citarasa mewah dan berbeza kepada model berkenaan. Hasilnya, ia berjaya meraih anugerah Best Concept Car semasa pameran tersebut.

BACA: SIMBOLIK CINTA PORSCHE; SEBUAH KELUARGA DAN LAGENDA RWB AKIRA NAKAI

Walaupun dicipta berlandaskan konsep kaizo yang berkait rapat dengan istilah rekaan semula, pembawakannya yang terlalu ekstrim memberi reaksi yang bercampur baur. Ia umpama mengangkat kembali golongan kaido racer atau zokusha yang menjadi sebahagian daripada budaya modifikasi Jepun, tapi dengan pendekatan yang lebih profesional serta sesuai untuk dikomersialkan.

Tidak seperti model pameran yang menerima sentuhan tambahan di bahagian roda, enjin dan dalaman, pakej yang ditawarkan untuk jualan hanya melibatkan komponen luaran sahaja, iaitu bumper, fender, hood, gril, sambungan kerangka depan, skirt sisi, panel pintu, cermin sisi, fender belakang, tailgate, spoiler dan komponen kecil lain. Hampir kesemuanya diperbuat dari gentian FRP yang kukuh, dengan hasil kerja tangan yang teliti. Unit lampu depan dan belakang yang diambil dari model Audi R8 tidak disediakan, dan pelanggan harus membelinya secara berasingan. Harga? Sekitar RM120,000 atau ¥3,000,000 ketika itu.

Pengeluaran kit badan VeilSide 4509 GTR ini telah dihadkan kepada 100 unit sahaja untuk pasaran seluruh dunia. Tak pasti berapa banyak yang laku. Tapi salah satu daripadanya, pernah digunakan oleh sebuah Supra di Malaysia sekitar tahun 2013. Sekarang mana pegi pun tak tahu…

-PAK MAUN-

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button