Buletin

DUCATI AKAN BUKA SEBUAH TAMAN TEMA DI ITALI – TAKKAN DI CHOW KIT PULAK

Ducati memang sudah lama disifatkan sebagai Ferrari dalam dunia motosikal, jadi tidaklah mengejutkan sangat bila mereka menurut jejak langkah Ferrari dengan membuka taman tema mereka sendiri.

Ia bakal dikenali dengan nama Ducati World dan dijangkakan akan dibuka kepada umum pada 2019 di kawasan Emilia-Romagna, Itali yang disifatkan Ducati sebagai tempat asal mereka. Sedikit berbeza dengan taman tema Ferrari yang dibuka di Abu Dhabi. Tapi itu pun bukan pelik sangat kerana ia berdasarkan strategi pemasaran.

BACA: TAMAN TEMA FERRARI LAND KINI DIBUKA SECARA RASMI

Kawasan taman tema seluas 8.6 ekar tersebut akan menempatkan roller-coaster bertemakan Ducati, simulasi realiti visual, ruang pameran, restoran dan tentu sekali kedai-kedai jualan yang menjual pelbagai barangan keluaran Ducati.

“Ducati World akan memberikan pelawat peluang untuk merasai perjalanan jenama Ducati dari awal”, demikian kata pengarah pelesenan Ducati, Alessandro Cicognani. Berdasarkan perjanjian bersama dengan Parques Reunidos, mereka akan membangunkan taman tema berasaskan motosikal yang pertama di Itali di Mirabilandia yang terletak ditengah-tengah Motor Valley Itali.

Projek ini tentu sekali diilhamkan dari kejayaan taman tema Ferrari World di Abu Dhabi yang kini terdapat pula taman tema Ferrari kedua dan dinamakan Ferrari land di Sepanyol. Ole!

Bukan itu sahaja, Formula One juga dikatakan bercadang untuk mewujudkan taman tema mereka sendiri di Dubai tetapi sehingga saat ini, perkembangannya masih dinantikan peminat.

Okey ini cadangan kami sendiri memandangkan Perodua memang agak laris jualannya di Malaysia, apa kata jika diwujudkan satu taman tema khas untuk Perodua. Model mana agaknya yang sesuai untuk menjadi ilham roller-coaster mereka nanti? P.s. Jangan kecam kami okey. Sekadar cadangan sahaja.

Google ads
Back to top button