Motosikal

CEO DUCATI AKUI MOTOSIKAL CHINA JADI CABARAN UTAMA JENAMA EROPAH

Sekitar 10 tahun yang lalu, jenama motosikal China sering diperlekehkan gara-gara sering menghasilkan motosikal dengan hanya meniru pengeluar lebih terkemuka. 

Bagaimanapun, rata-rata jenama dari China sudah berinovasi dan mula menghasilkan model yang mampu menandingi jenama terkenal di pentas dunia dan perkara itu turut dipersetujui CEO Ducati, Claudio Domenicali. 

Bercakap kepada MCN ketika di World Ducati Week 2026, Domenicali mengakui bahawa pengeluar motosikal China kini menjadi antara cabaran terbesar jenama Eropah. 

Domenicali juga berpendapat bahawa menjadi kesilapan besar sekiranya beranggapan jenama Itali itu akan kekal selamanya di kedudukan teratas di Eropah. 

Kenyataan dari seorang CEO yang sedang menguruskan jenama motosikal paling berjaya di pentas antarabangsa ketika ini pastinya membawa makna besar. 

Ini kerana Ducati bukan sahaja mendominasi perlumbaan berprestij seperti MotoGP dan WorldSBK malah turut menawarkan barisan model yang popular antaranya Panigale V4, Streetfighter V4 dan Multistrada V4. 

Oleh sebab itu, sekiranya Domenicali berpendapat bahawa jenama Eropah tidak boleh berasa selesa bermakna jenama China berada di landasan tepat untuk memberikan saingan. 

Jenama seperti CFMoto, QJMotor dan Zontes sudah pun membuktikan mereka mampu menghasilkan model yang berkualiti dan setanding jenama lain. Pada masa sama, ZXMoto (meskipun pendatang baharu) sudah pun membuktikan kemampuan di WorldSSP dengan merekodkan enam kemenangan setakat ini. 

Tahun lalu di EICMA, Domenicali mencuri tumpuan apabila melawat reruai CFMoto bagi melihat dengan lebih dekat prototaip V4 SR-R.

Bagaimanapun, Domenicali berpendapat bahawa meskipun jenama Eropah tidak mampu menandingi perang harga namun dia percaya bahawa kelebihan Ducati berada pada aspek lain. 

“Kami tidak menjual motor sahaja, kami juga menjual pakej,” jelas Domenicali. 

Domenicali merujuk kepada warisan 100 tahun Ducati selain kabinet trofi yang dipenuhi dengan kejuaraan MotoGP, kilang bersejarah di Borgo Panigale dan komuniti pemilik Ducati yang besar. 

Apa pun, pengakuan CEO Ducati itu memberi bayangan besar bahawa jenama China kini setanding jenama lebih terkemuka di pasaran global. 

Google ads
Back to top button