Buletin

VIDEO REBIU: SEDAN VOLKSWAGEN – VENTO, JETTA & PASSAT B8

Sama ada suka atau tidak, kita perlu akui bahawa pasaran kereta jenis sedan dilihat semakin mengecil.

Perkembangan itu tidak berlaku di Malaysia atau pasaran Asia Tenggara sahaja, malah sudah merebak hampir ke seluruh dunia sejak beberapa tahun lalu.

Kondisi itu banyak didorong oleh faktor-faktor seperti kemunculan kenderaan dalam segmen-segmen ‘baru’  SUV, crossover serta golongan muda yang kurang berminat memiliki kereta berbanding generasi bapa atau datuk mereka.

Namun begitu, penerimaan terhadap segmen sedan adalah berbeza mengikut negara. Sebagai contoh, sedan segmen B dilihat masih diterima baik di Malaysia, tetapi ia mungkin tidak sebegitu bagus di pasaran negara jiran.

Penguncupan jualan dan perubahan selera pengguna terhadap kenderaan bagaimanapun tidak membuatkan pengeluar mengabaikan segmen sedan secara langsung. Malah, pembuat kereta utama seperti Volkswagen, Honda, Toyota dan banyak lagi masih menghasilkan sedan untuk hampir setiap pasaran yang disertainya.

Volkswagen misalnya, tetap menawarkan sedan untuk segmen B, C dan D di pasaran tempatan. Memang tidak dapat dinafikan, bukan mudah untuk bersaing dengan jenama Jepun mahupun nasional. Tetapi, penawaran yang dibuat oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) nyata memberi alternatif kepada pengguna di negara ini.

Volkswagen Vento Highline (RM93,888) 

Untuk sedan entry level, VPCM menawarkan Volkswagen Vento. Sebelum ini, Vento dikenali sebagai Polo Sedan. Sebagai langkah penjenamaan semula sedan terbabit, VPCM menamakannya sebagai Vento, sama seperti nama yang digunakan di pasaran lebih besar seperti India.

Tampil dengan rekaan ringkas dan tidak ditelan zaman, Vento didatangkan dalam dua pilihan enjin – aspirasi biasa (NA) 1.6 MPI dan enjin turbo TS bersesaran 1.2 liter. Bagi memberi lebih banyak pilihan, Vento hadir dalam tiga varian – Trendline, Comfortline dan Highline yang dibezakan menerusi ciri padanya.   

Dalam video ringkas ini, kami dapat rasai sendiri sensasi pemanduan yang dapat diberikan oleh enjin kecil berkuasa 105PS dan tork 153Nm tersebut. Pemanduan yang bertenaga tidak semestinya menggunakan bahan api yang banyak. Buktinya, Vento 1.2 TSI ini hanya mencatatkan penggunaan bahan api sekitar 6.5L/100km sahaja.

Untuk menjadikannya lebih menarik, model facelift itu dipasang dengan beberapa ciri baharu. Antaranya ialah lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang (DRL), kawalan jelajah (Cruise Control), Intelligent Crash Response System (ICRS), empat beg udara, Electronic Stability Control (ESC), sistem audio skrin sentuh bersaiz 5 inci RCD 330 bersama ciri MirroLink serta banyak lagi.

Volkswagen Jetta Comfortline (RM117,990)

Lama sebelum kehadiran Honda Civic Turbo dan Hyundai Elantra Turbo, Jetta merupakan satu-satunya sedan segmen C yang dilengkapi enjin turbo. Enjin turbo TSI 1.4L ialah enjin dengan sesaran paling kecil (Civic 1.5L turbo dan Elantra 1.6L turbo).

Namun, jangan tertipu dengan angka tersebut. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa enjin TSI 1.4 itu mempu menawarkan prestasi paling mengujakan. Kotak gear DSG tujuh kelajuan pula menjanjikan penukaran gear yang tepat dan pantas.

Anda dapat merasakan kuasa yang hampir serta-merta, ditambah dengan chasis Jetta yang tegar, pemandu pasti tersenyum setiap kali memegang sterengnya.

Jetta ditawarkan dalam dua varian iaitu Comfortline dan Highline. Sekali lagi, kedua-duanya dibezakan menerusi ciri yang dipasang padanya. Jika anda memilih varian Comfortline, senarai ciri seperti head unit dengan skrin sentuh RCD 330G bersama enam unit pembesar suara, kawalan suhu dua zon dan ciri Start/Stop ada disertakan.

Dari segi keselamatan pula, Jetta dilengkapi enam beg udara, ABS, EBD, Brake Assist, kawalan kestabilan dan Multi Collision Braking System.

Volkswagen Passat Comfortline (RM179,990)

Dikenali sebagai Passat B8, ini merupakan tawaran terbaru daripada VPCM. B8 sememangnya ditunggu-tunggu oleh pengguna kerana ia hadir dengan reka bentuk dan ciri yang jauh lebih menarik berbanding generasi Passat sebelumnya.

VPCM pada asalnya menawarkan Passat dalam tiga varian iaitu Trendline, Comfortline dan Highline. Baru-baru ini, VPCM ada memperkenalkan satu lagi pilihan iaitu Passat PLUS.

Kami menguji varian Comfortline yang dijana oleh enjin 1.8L TSI berkuasa 180PS dan tork 250Nm. Dipadankan dengan kotak gear DSG tujuh kelajuan, ia mampu menawarkan penggunaan bahan api sekitar 6.2L/100km sahaja, walaupun pedal minyaknya ditekan keras.

Sebagai sebuah sedan segmen D, ia dilengkapi dengan pelbagai ciri yang menjadikannya lebih mewah.

Antaranya termasuklah sistem Composition Media dengan skrin sentuh bersaiz 6.5 inci, ciri ketersambungan App-Connect bernilai RM1,099, tempat duduk dibalut kulit, kawalan suhu tiga zon, Park Assist, brek parkir elektronik, kemasukan tanpa kunci dn ciri Start/Stop serta banyak lagi.   

Lebih menarik lagi, kesemua sedan Volkswagen ini didatangkan dengan jaminan pengeluar, penyelenggaraan percuma dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.

Semua ini demi memberikan ketenangan minda dan pengalaman pemilikan yang terbaik kepada semua pelanggannya.   

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button