
KAMI TAK PERLUKAN VOLKSWAGEN – CEO DUCATI
Kebelakangan ini nama Ducati mencuri tumpuan susulan timbul laporan oleh Financial Times yang mendakwa jenama motosikal Itali itu akan dijual oleh Volkswagen.
Volkswagen kemudiannya ada membuat kenyataan rasmi bagi memberi perkembangan sebenar namun kenyataan tersebut tidak menafikan dakwaan yang sedang tular.

Terbaru, giliran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ducati, Claudio Domenicali menyuarakan pendapat mengenai situasi semasa jenama itu bersama Volkswagen.
“Jual kami atau tidak, kami tidak perlukan VW.
“Kami berada dalam keadaan yang baik dan beroperasi secara sendiri. Kami sebenarnya tidak perlukan sokongan dari VW untuk kami membuat perancangan masa depan atau menghasilkan model baharu.
“Kami mempunyai pelan pelaburan yang kukuh,” Domenicali memberitahu MCN.

Kenyataan yang dikeluarkan Domenicali ini bukanlah satu kejutan kerana Ducati sememangnya berada dalam keadaan yang kukuh dan mampu bergerak secara sendiri tanpa sokongan dari mana-mana pihak.
Namun begitu, Domenicali menjelaskan bahawa pihaknya tidak gusar dengan situasi semasa.
“Buat masa ini, tiada sebarang perbincangan berlaku di Borgo Panigale,” tambahnya.
Ketika ini, Ducati kekal dibawah VW namun sejauh mana hubungan ini akan berkekalan masih lagi menjadi tanda tanya.







