Buletin

ELAK DICEKUP POLIS. PANDU MPV LAWAN ARUS SEJAUH 2 KM

Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu secara melawan arus sejauh kira-kira dua kilometer dalam usaha pemandu dan penumpangnya untuk melarikan diri daripada ditahan polis.

Dalam kejadian pada 6.30 petang itu, kedua lelaki itu cuba meloloskan diri selepas menyedari pemeriksaan yang diadakan anggota polis di Kilometer 72 Jalan Klang-Teluk Intan dekat Sekinchan, Sabak Bernam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, polis bertindak mengejar MPV itu hingga ke Jalan Tali Air 6.

“Suspek memandu secara melawan arus sehingga ke Jalan Tali Air 7 dan terus memasuki Jalan Haji Miskan.

“Pemandu itu kemudiannya melompat keluar dari kenderaannya yang masih bergerak hingga menyebabkan MPV terbabit terbabas ke parit di sebelah kiri jalan.

“Pemandu dapat melarikan diri manakala penumpangnya berjaya ditahan dlama kejadian itu,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap suspek berusia 27 tahun menemui 19 paket dadah disyaki jenis syabu seberat 15.5 gram di dalam beg sandang miliknya.

“Dadah terbabit dianggarkan bernilai RM450, suspek yang mengalami kecederaan ringan di kaki kirinya dalam kejadian itu didapati mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Ujian saringan awal air kencing terhadapnya mendapati dia turut positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata, suspek kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk siasatan lanjut.

Lim berkata, pihak polis sudah mengenal pasti identiti pemandu MPV terbabit dan usaha memburunya sedang giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial satu video yang memaparkan sebuah MPV dipandu secara melawan arus sambil dikejar polis.

Video berdurasi satu minit dua saat itu turut mendapat perhatian netizen dan rata-ratanya mengecam tindakan pemandu MPV terbabit yang membahayakan pengguna jalan raya lain. –HM

Google ads
Back to top button