Buletin

WANITA PANDU HONDA CIVIC LAWAN ARUS DI PERAI. LANGGAR 2 KERETA DAN 1 MOTOSIKAL

Tindakan seorang wanita memandu keretanya secara melawan arus menyebabkan dia melanggar dua buah kenderaan dan sebuah motosikal dalam kejadian di susur Jalan Perusahaan Perai di sini kira-kira jam 6.20 petang Ahad.

Berikutan kejadian itu, semua mangsa termasuk pemandu wanita berusia 31 tahun tersebut dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 6.30 petang dan anggota bertugas terus ke lokasi kejadian.

Siasatan mendapati, kemalangan berlaku selepas wanita yang memandu Honda Civic itu memandu keretanya secara melawan arus menyebabkan kenderaan lain termasuk sebuah Perodua Myvi tidak sempat untuk mengelak.

“Kereta wanita tersebut melanggar dua buah kereta dipandu lelaki masing-masing berusia 26 dan 29 tahun, selain melanggar seorang penunggang motosikal berusia 31 tahun yang datang dari arah bertentangan.

“Semua mangsa termasuk pemandu wanita terbabit dibawa ke hospital untuk rawatan kerana mengalami kecederaan ringan.

“Penungang motosikal berusia 31 tahun dilapor mengalami kecederaan di kaki. Manakala seorang lelaki berusia 26 tahun sakit dada. Seorang lagi mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Polis masih menyiasat motif wanita tersebut memandu secara melawan arus. 

“Kita akan mengambil keterangan daripada wanita itu secepat mungkin. Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button