
NAZA EASTERN BERI BAYANGAN AKAN LANCAR SUZUKI JIMNY TIDAK LAMA LAGI
Tidak dapat dinafikan bahawa ramai yang bersorak gembira apabila jenama Suzuki kembali memeriahkan pasaran automotif negara.
Selepas hilang selama beberapa tahun, jenama dari Jepun itu dihidupkan semula oleh syarikat Naza Eastern Motor menerusi pengenalan model kompak Swift Sport pada April lalu. Kini Naza Eastern dilihat sudah bersedia untuk melancarkan satu lagi produk popular Suzuki, apa lagi kalau bukan Jimny.
Kemunculan semula SUV kompak itu sudah lama diketahui, cuma tarikh sebenar sahaja tidak dapat dipastikan. Namun, perkongsian satu teaser di laman Facebook rasmi menguatkan lagi desas-desus bahawa Jimny bakal menemui pengguna di Malaysia tidak lama lagi.

Ilustrasi berwarna kuning hitam dengan penerangan gambar “The one and only… returns” pada hantaran di Facebook Suzuki Cars Malaysia jelas menunjukkan model Jimny. Jimny akan hadir dalam bentuk import sepenuhnya (CBU), sama seperti Swift Sport.
Sebelum ini, Jimny generasi terbaharu telahpun diperkenalkan di pasaran Indonesia, Singapura dan Thailand. Untuk pasaran Malaysia, beberapa pengimport parellel sudah menawarkannya pada harga yang agak tinggi iaitu sekitar RM140,000 seunit. Malah, varian Jimny Sierra yang sudah siap diubah suai mampu mencapai harga RM188,000!
Naza Eastern dijangka menawarkan Jimny dalam spesifikasi tinggi dengan enjin 1.5 liter dan kotak gear automatik empat kelajuan. Persoalannya sekarang, berapakah harganya apabila dilancarkan nanti?
Sebagai perbandingan, Jimny ditawarkan pada harga 1.61 juta yen (RM61,,000) di Jepun dan RM115,600 di Indonesia.
- BACA: SUZUKI SWIFT SPORT 2021 MENDARAT DI MALAYSIA. ENJIN TURBO BOOSTERJET 140HP, PLATFORM HEARTEC, RM139,900
- BACA: SUZUKI BAKAL LANCAR VERSI MURAH JIMNY LITE DI AUSTRALIA OGOS DEPAN
- BACA: NAZA EASTERN SAH BAWA MASUK VARIAN PREMIUM JIMNY PADA OGOS. SUDAH TERIMA HAMPIR 20 TEMPAHAN
- BACA: MASALAH EMISI, SUZUKI JUAL JIMNY DUA PINTU SEBAGAI KENDERAAN KOMERSIAL DI EROPAH