Buletin

PEMANDU PERODUA KANCIL LAWAN ARUS DAH KENA TAHAN

Seorang lelaki yang memandu Perodua Kancil secara melawan arus sehingga tular sebelum ini berjaya ditahan di tempat kerjanya di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Suspek berusia 40 tahun itu ditahan pada pukul 5.30 petang oleh Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, siasatan awal mendapati lelaki tersebut mengidap penyakit sawan dengan tidak menyedari kelakuannya membawa kenderaan secara melawan arus di lampu isyarat Jalan Sungai Nangka, Kuala Langat.

Katanya, suspek hanya menyedari sebaik keretanya berhenti dan dimaklumkan oleh orang awam terhadap aksi berbahaya itu.

“Hasil semakan mendapati suspek mengalami penyakit sawan sejak dua tahun lalu dan menerima rawatan di Hospital Banting dan Hospital Sri Kota Klang.

“Suspek juga menerima rawatan setiap dua bulan dengan mengambil ubat disarankan doktor serta kali terakhir rawatan pada Oktober lalu,” katanya.

Kata beliau, hasil siasatan juga mendapati tindakan melawan arus adalah kali pertama dilakukan suspek dengan sebelum ini lelaki itu akan berhenti di tepi jalan sekiranya diserang penyakit berkenaan.

Ujar Kamalariffin, ujian darah suspek telah dilakukan bagi tujuan laporan toksikologi dadah dan alkohol di Hospital Banting bagi mengenal pasti sama ada suspek memang disahkan mengalami sawan semasa kejadian tersebut.

“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai dua kesalahan lampau berkaitan trafik iaitu mengabaikan isyarat lalu lintas dan memandu secara laju.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. -Kosmo!

Google ads
Back to top button