Buletin

PEMANDU MITSUBISHI TRITON LAWAN ARUS DAN SEBABKAN KEMATIAN 2 REMAJA POSITIF GANJA

Pemandu pacuan empat roda yang memandu secara melawan arus dan merempuh sebuah kereta mengakibatkan dua maut dalam kejadian di Kilometer 8.6 Lebuhraya Persekutuan awal pagi Ahad disahkan positif ganja.

Mangsa yang maut ialah pemandu, Nur Afiqah Abd Karim, 18, beralamat di Taman Bayu Perdana Klang dan penumpang, Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19, beralamat di Kelompok Camar, Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.58 pagi.

“Seramai lapan anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dikejarkan ke lokasi,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Akibat pertembungan itu, kedua-dua mangsa yang berada di bahagian hadapan tersepit dan cedera parah. Anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa tetapi disahkan meninggal dunia. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. 

Pemandu Mitsubishi Triton itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, suspek yang berumur 24 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk tindakan lanjut.

Hubungan dua mangsa maut berusia 18 tahun dan 19 tahun itu belum dapat dipastikan. “Setakat ini siasatan mendapati mangsa merupakan rakan dan belum dapat dipastikan ke mana tujuan sebenar mereka yang ketika itu dari arah Klang.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Sinar Harian 

Google ads
Back to top button