
EVE ENERGY LABUR RM1.9 BILION, BINA KILANG DI KULIM
Pengeluar bateri litium global, EVE Energy Co Ltd, mengumumkan majlis pecah tanah bagi kilang pembuatan baharunya dengan pelaburan awal sebanyak US$422 juta (RM1.924 bilion) di Kulim, Kedah.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, kemudahan baharu itu akan menjadi kilang ke-53 EVE, bakal menumpukan pada pengeluaran bateri litium ion silinder untuk menyokong alatan kuasa serta pembuatan kenderaan beroda dua elektrik di negara ini dan di seluruh Asia Tenggara.
Pengarah EVE Energy Malaysia Sdn Bhd, Joe Chen, berkata projek awal itu akan dibina secara berperingkat dan tempoh pembinaan dijangka tidak melebihi tiga tahun.

“Ini satu peristiwa penting bagi EVE untuk mengembangkan perniagaan global kami serta meningkatkan daya saing komprehensif.
“Bersandarkan kepada kelebihan domestik dan pengalaman operasi EVE, kami akan membina kilang pengeluaran bateri silinder di Malaysia untuk menyokong kenderaan beroda dua elektrik serta alatan kuasa di Malaysia,” katanya.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (pembangunan pelaburan) MIDA, Lim Bee Vian, projek itu sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Dasar Automotif Negara 2020 (NAP) ke arah mencapai pelepasan gas rumah hijau bersih-sifar menjelang 2050.
“Dengan pembinaan kilang pembuatan bateri silinder ini di Malaysia, ia menunjukkan komitmen kita terhadap daya saing di pasaran antarabangsa.
“Upacara ini menandakan peristiwa penting yang bukan sahaja memberi manfaat kepada EVE tetapi juga membuka jalan kepada lebih banyak syarikat untuk melabur di Malaysia dalam industri kenderaan elektrik (EV) dan ekosistemnya,” tambahnya. – The Star
- BACA: ELITESOFT YAKIN DENGAN INDUSTRI EV MALAYSIA – JALIN KERJASAMA DENGAN SYARIKAT TEMPATAN DAN ANTARABANGSA
- BACA: HONDA ELEVATE KINI DIPANDU UJI DI JEPUN – BAKAL MUNCUL DI MALAYSIA TAK LAMA LAGI?
- BACA: POS MALAYSIA JALIN KERJASAMA DENGAN YINSON GREENTECH – LANCAR STESEN PENGECASAN EV DI ENAM PEJABAT POS
- BACA: PROTON RANGKA STRATEGI NEV YANG AGRESIF DI MALAYSIA BERSAMA GEELY