Buletin

ELITESOFT YAKIN DENGAN INDUSTRI EV MALAYSIA – JALIN KERJASAMA DENGAN SYARIKAT TEMPATAN DAN ANTARABANGSA

Elitesoft Capital Berhad (Elitesoft) menjalin kerjasama dengan beberapa syarikat tempatan dan antarabangsa bertujuan memampankan pembangunan industri kenderaan elektrik di negara ini.

Elitesoft adalah syarikat yang memasarkan barangan-barangan elektronik sebelum terlibat dengan pemasaran produk EV. Untuk rekod, Elitesoft merupakan pembekal utama motosikal, skuter elektrik berjenama antarabangsa iaitu Surron, Super Soco, Go Trax, Yamee dan Talaria di Malaysia.

Kini ia meluaskan penglibatannya dalam industri EV menerusi pemasangan kenderaan tempatan (CKD).

Perkembangan positif dalam industri EV di Malaysia memberikan keyakinan kepada Elitesoft untuk meningkatkan pelaburan dengan memeterai kerjasama bersama Roda Prestasi Sdn. Bhd. (Roda Prestasi), One Mobile Care Sdn. Bhd. (One Mobile Care), Super Soco, Sarkcyber Technology (Shanghai) Co. Ltd. (Sarkcyber) dan Xiamen Ampace Technology Limited (Xiamen Ampace).

Menerusi kerjasama dengan Roda Prestasi, Elitesoft membeli sebahagian besar saham syarikat yang berpangkalan di Sungai Petani, Kedah itu.

Roda Prestasi pernah menghasilkan motosikal elektrik BOS 2000 sekitar tahun 2018, selain banyak terlibat dengan projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan industri EV tempatan.

“Penglibatan Roda Prestasi lebih terarah kepada kerja-kerja CKD di kilang yang beroperasi di Sungai Petani.

“Kami yakin dengan pengalaman dan kepakaran mereka dalam industri ini, ia akan melonjakkan lagi perkembangan pembangunan EV tempatan,” ujar Pengarah Urusan Elitesoft, Datuk Mohamad Azri Abdul Rahman.

Sebuah lagi syarikat tempatan yang terlibat dengan kerjasama ini ialah One Mobile Care, sebuah perusahaan terkenal dengan servis telefon pintar dan pembaikan cip. One Mobile Care akan fokus kepada servis penyelenggaraan bateri dan alat ganti elektrik.

Setakat ini, ia telah mempunyai lebih 50 pusat sehenti di seluruh Malaysia bagi memudahkan akses pengguna EV mendapatkan khidmat penyelenggaraan dan penukaran bateri serta alat ganti.

Sementara, tiga syarikat antarabangsa iaitu Super Soco, Sarkcyber dan Xiamen Ampace yang berpangkalan di China akan terlibat secara rasmi dari segi kerjasama pemindahan teknologi serta kepakaran.

Super Soco akan menempatkan pakar R&D mereka di Malaysia untuk melakukan kerja-kerja pembangunan dan pemasangan model-model jenama mereka di Malaysia.

“Kami yakin dengan kerjasama menyeluruh ini, Malaysia dapat mengeluarkan motosikal dan skuter elektrik bertaraf antarabangsa dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang. Kesemua model yang dikeluarkan itu juga untuk kegunaan komersial dan penguatkuasaan,” kongsi Mohamad Azri lagi.

“Xiamen Ampace pula akan berperanan sebagai entiti yang melaksanakan pemindahan teknologi dan kepakaran pembuatan bateri khusus untuk EV di Malaysia. Kilang pembuatan bateri EV turut akan dibangunkan di sini.”

Selain itu, sebagai satu inisiatif memastikan kelestarian alam sekitar dalam pembangunan EV, Elitesoft turut menyediakan pusat pelupusan dan kitar semula bateri EV.

Google ads
Back to top button