Buletin

POS MALAYSIA JALIN KERJASAMA DENGAN YINSON GREENTECH – LANCAR STESEN PENGECASAN EV DI ENAM PEJABAT POS

Pos Malaysia Berhad baru-baru ini mengumumkan kerjasama strategik bersama Yinson GreenTech, melancarkan stesen pengecas kenderaan elektrik yang dikuasakan oleh chargEV.

Stesen pengecas EV kini tersedia setiap hari dari 7 pagi hingga 11 malam di enam Pejabat Pos Malaysia iaitu di Shah Alam, Ipoh, Melaka, Seremban, Alor Setar dan Johor Bahru.

Menurut Pos Malaysia, pengecas ini akan dipasang secara berperingkat termasuk meluaskan lagi akses di Pejabat Pos lain bagi memudahkan pengguna kenderaan elektrik.

Untuk rekod, setiap alur keluar mempunyai 1 pengecas DC jenis CCS2 (pengecasan pantas) dengan kuasa 40kW. Pengecasan UV sehingga 80 peratus memerlukan masa antara 60 hingga 90 minit, bergantung pada model EV.

Dalam mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, Pos Malaysia memulakan langkah dengan menggunakan lebih 40 e-Bike untuk menghantar mel dan bungkusan di seluruh Lembah Klang.

Pos Malaysia turut menyasarkan untuk mempunyai lebih 200 e-Bike dan 140 e-Van di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Kami sangat teruja untuk menawarkan penyelesaian mobiliti lestari kepada pelanggan kami. Dengan kerjasama rakan kongsi seperti Yinson, kami boleh memacu perubahan positif dalam bidang pengangkutan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer.

“kami memikul tanggungjawab untuk mencipta masa depan lebih lestari dan kami menyedari kepentingan menyepadukan kelestarian dalam setiap aspek operasi kami, serta memastikan warisan kami kekal untuk generasi akan datang.”

Google ads
Back to top button