Buletin

PROTON RANGKA STRATEGI NEV YANG AGRESIF DI MALAYSIA BERSAMA GEELY

Walaupun kereta berkuasa enjin pembakaran dalaman tradisional (ICE) kekal sebagai tunjang utama rangkaian model Proton dalam beberapa tahun akan datang, syarikat juga telah menetapkan strategi NEV untuk masa terdekat. 

Melalui kerjasama dengan Geely, PROTON terus meneroka peluang untuk mempercepatkan program NEV selaras dengan aspirasi kerajaan ke arah meningkatkan daya tarikan NEV. Terutama ke arah menawarkan model NEV yang berpatutan dan praktikal, serta meneruskan pembangunan tempatan dan pembangunan ekosistem NEV di Malaysia.

Langkah pertama yang akan diambil ialah pelancaran Proton X90, tambahan terbaru kepada rangkaian SUV yang dikuasakan oleh versi hibrid ringan dan enjin 1.5 TGDI. Ini akan diikuti dengan pengenalan model EV smart #1 oleh PRO-NET pada suku keempat 2023. 

“Saya gembira untuk mengumumkan bahawa selepas perkongsian perniagaan selama lima tahun, PROTON dan Geely telah mencapai kemajuan yang besar dalam membawa produk, teknologi dan pelaburan baharu ke Malaysia. 

“Berikutan pemeteraian HoA di Beijing semalam di mana AHTV mempunyai potensi besar untuk menarik pelaburan RM32 bilion, lawatan hari ini ke Ningbo menunjukkan kerjasama PROTON dan Geely akan terus berkembang dengan pelaksanaan program NEV.

“Kami mengakui kepentingan Malaysia menjadi hab serantau bagi produk NxGV. Justeru, PROTON sebagai jenama nasional akan memainkan peranan aktif dalam menyumbang secara signifikan ke arah mencapai matlamat negara. 

“Untuk berdaya saing, PROTON dan ekosistem automotif mesti melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta proses pembuatan termaju. 

Dengan pembangunan AHTV yang progresif dan penglibatan berterusan dalam kalangan pihak berkepentingan terutama kerajaan Malaysia, DRB-HICOM, Kumpulan Geely, PROTON dan ekosistem automotif, matlamat ini dapat dicapai,” kata Pengerusi PROTON, Dato’ Sri Syed Faisal Albar.

Sudah melabur lebih RM3.3 bilion

Sejak 2018 dengan sokongan daripada DRB-HICOM dan GEELY, PROTON telah melabur lebih RM3.3 bilion sebagai sebahagian daripada inisiatif pemulihan prestasinya. Ia meliputi pembangunan produk, integrasi teknologi baharu, pengembangan pembuatan dan pembangunan modal insan terutamanya dalam teknologi baharu dan baru muncul. 

Dengan kewujudan AHTV, pelaburan masa hadapan akan memberi tumpuan kepada produk dan teknologi baharu, termasuk penyelesaian tenaga baharu dan teknologi pintar. Penerusan inisiatif transformasi adalah sangat penting untuk PROTON, justeru, sinergi dengan Geely dalam pembangunan teknologi adalah sangat penting ke arah mencapai matlamat strategik.

Sehingga hari ini, langkah-langkah telah pun diambil ke arah mencapai matlamat jangka panjang PROTON. Syarikat mempunyai pejabat tetap di Institut Penyelidikan Automobil Geely (GRI) di Teluk Hangzhou untuk memudahkan semua aktiviti pembangunan antara pasukan kejuruteraan. 

PROTON juga telah menugaskan 18 jurutera yang berpangkalan di Institut Penyelidikan Geely pada fasa pertama program pembangunan R&D dan NEV. Lebih ramai jurutera akan ditugaskan tidak lama lagi, satu langkah yang akan membantu mempercepatkan pemindahan teknologi.

Google ads
Back to top button