Buletin

LYNK & CO MASUK PASARAN VIETNAM OKTOBER INI, TAWAR EMPAT MODEL

Jenama dimiliki oleh Geely dan Volvo China, Lynk & Co baru-baru ini dilaporkan bakal memasuki pasaran Vietnam pada Oktober ini.

Ia adalah jenama kereta China terbaharu yang memasuki Vietnam dalam beberapa bulan terakhir selepas Wuling dan Haval.

Menurut pakar, gelombang kereta China membanjiri Vietnam semakin memberangsangkan tahun ini walaupun pasaran kenderaan tidak aktif berikutan keadaan ekonomi.

Menurut pengedar, GreenLynk, antara model bakal dibawa masuk ialah 01, 03, 05 dan 09.

Untuk rekod, 01 ialah model SUV segmen C, di mana ia dibina di atas platform Compact Modular Architecture (CMA) Volvo.

Ia menggunakan khidmat enjin tiga silinder 1.5 liter atau empat silinder 2.0 liter daripada Volvo dan dipadankan dengan kotak gear klac berkembar.

Sementara model 03 pula dijana oleh enjin tiga silinder turbo bersesaran 1.5 liter berkuasa 148hp. Manakala enjin empat silinder pula berkuasa 187hp.

Bagi model Lynk & Co 05, SUV sporty itu menggunakan dua jenis enjin di pasaran Eropah, iaitu unit 1.5L turbo, menghamburkan 177hp, tork 265 Nm atau 2.0L turbo, menjana 235hp dan 350Nm.

Turut didatangkan ke pasaran Naga Emas ialah Lynk & Co 09, dikuasakan oleh enjin 2.0 liter Twin Engine serta dibantu dengan motor elektrik untuk menghasilkan 401hp dan tork 640Nm.

Pek bateri lithium-ion pula adalah berkapasiti 11.6 kWh yang membenarkan jarak gerak sejauh 50km.

Google ads
Back to top button