Buletin

FERRARI HYPERSAIL PROJEK KAPAL LAYAR BERPRESTASI, GUNA TENAGA SEMULA JADI!

Pengeluar kereta dengan kejuruteraan di atas air bukan perkara asing. Terbaru Ferrari memperkenalkan Ferrari Hypersail, sebuah projek baharu dalam bidang pelayaran.

Nama Hypersail diambil sempena warisan perlumbaan Ferrari dan siri kereta hiper.

Projek Hypersail bertujuan untuk membangunkan satu platform penyelidikan dan pembangunan khas untuk pelayaran di laut lepas.

Ferrari bekerjasama dengan pakar pelayaran dalam semua peringkat, dari reka bentuk, kejuruteraan, sehingga ke fasa ujian. 

Kapal layar ini direka oleh pereka kapal Perancis, Guillaume Verdier.

Prototaip kapal layar perlumbaan laut dengan ukuran 100 kaki (kira-kira 30 meter) direka untuk meluncur di atas air, menggunakan tiga struktur utama yang menstabilkan kapal.

Inovasi utama Verdier ialah penggunaan lunas condong (canting keel) sebagai penyokong untuk salah satu ‘sayap’ bawah air (foil) kapal.

Dua lagi struktur utama yang menstabilkan kapal pula datang daripada satu ‘sayap’ pada kemudi (rudder) di belakang kapal, dan dua ‘sayap’ di bahagian sisi kapal (lateral foils).

Ini membolehkan kapal terangkat dari permukaan air dan bergerak dengan lebih pantas serta cekap.

Kapal layar 100 kaki ini juga akan menjadi yang pertama di dunia dalam saiznya yang boleh beroperasi tanpa memerlukan sumber tenaga dari luar.

Pembinaan kapal layar Hypersail sedang dijalankan di Itali. Ia dijadualkan dilancarkan pada tahun 2026, dan selepas itu, ia akan menjalani ujian di laut.

Inovasi dan Perkongsian Teknologi

Projek Hypersail ini berdasarkan konsep inovasi terbuka, iaitu bekerjasama dan berkongsi kepakaran antara Ferrari, rakan kongsi, dan pembekal.

Pendekatan ini digunakan untuk membangunkan sistem dalam bidang aerodinamik, kecekapan tenaga, pengurusan kuasa, dan tenaga kinetik (tenaga dari pergerakan).

Pemindahan teknologi dari kereta sport Ferrari adalah bahagian penting. Kapal layar ini akan menggunakan sistem kawalan yang dibangunkan daripada pengalaman dalam bidang automotif.

Ini melibatkan pengiraan bagaimana kapal berinteraksi dengan udara dan kekuatan strukturnya.

Tujuannya adalah untuk memastikan kapal satu badan (monohull) ini boleh belayar jauh di lautan dengan prestasi dan keselamatan yang tinggi, tanpa sebarang hentian atau bantuan luar.

Usaha mencari penyelesaian baharu dalam dunia pelayaran ini telah menghasilkan sembilan paten dengan enam lagi sedang dalam proses.

Hasil daripada usaha mencapai prestasi tinggi di laut ini juga dijangka memberi kesan positif kepada pembangunan kereta sport Ferrari.

Mampu Jana Tenaga Sendiri 

Kapal layar ini direka untuk berfungsi sepenuhnya menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar, angin, dan kinetik (pergerakan).

Ia tidak mempunyai enjin yang membakar bahan api.

Semua kuasa yang diperlukan untuk sistem kawalan dan pergerakan, serta semua komputer dan peralatan di atas kapal, mesti dihasilkan sendiri semasa ia berlayar.

Untuk memiliki tenaga sendiri sepenuhnya dan tetap berprestasi tinggi di laut yang tidak menentu, kapal ini memerlukan pengurusan tenaga dan sumber yang sangat rapi.”

Ini bermakna setiap komponen dan sistem yang menghasilkan tenaga perlu berfungsi pada tahap paling cekap. Mencapai semua ini adalah satu cabaran yang sebelum ini ramai pihak anggap mustahil.

Ciri-ciri Utama Kapal Layar Ferrari Hypersail:

  • Reka Bentuk: Prototaip kapal layar perlumbaan laut 100 kaki (satu badan kapal / monohull) yang boleh meluncur di atas air.
  • Sistem Meluncur: Menggunakan tiga struktur utama yang menstabilkan kapal untuk kestabilan di atas air.
  • Sumber Tenaga: Beroperasi sepenuhnya menggunakan tenaga solar, angin, dan kinetik.
  • Operasi: Direka untuk berlayar jarak jauh tanpa memerlukan hentian atau bantuan.
  • Kawalan: Menggunakan sistem kawalan yang dibangunkan dari teknologi automotif Ferrari.
  • Paten: Projek ini telah menghasilkan sembilan paten baharu.

Google ads
Back to top button