
PILOTI FERRARI 296 SPECIALE: INSPIRASI DARIPADA 499P JUARA LE MANS
Ferrari memperkenalkan sebuah model baharu yang menarik iaitu 296 Speciale dengan konfigurasi Piloti Ferrari.
Model ini merupakan sebahagian daripada program Ferrari Tailor Made, direka untuk meraikan pencapaian Ferrari dalam Kejuaraan Ketahanan Dunia FIA (WEC) dan penghormatan kepada para pemandu perlumbaan pelanggan Ferrari.
Pelancaran model ini diadakan di Circuit de la Sarthe, lokasi perlumbaan ketahanan (endurance) Perancis yang terkenal.
Konfigurasi unik ini khusus untuk pelanggan yang terlibat dalam aktiviti sukan rasmi Ferrari, sama ada dalam pertandingan mahupun aktiviti tidak rasmi.
Inspirasi utama untuk Piloti Ferrari 296 Speciale datang dari 499P, jentera hiper yang memenangi 24 Hours of Le Mans pada tahun 2023 dan 2024.
Direka untuk mereka yang sukakan pengalaman di litar, corak grafik dan kemasan istimewa mencerminkan identiti komuniti pemandu perlumbaan pelanggan yang menyumbang kepada sejarah perlumbaan Ferrari.
Sentuhan Unik Piloti Ferrari
Piloti Ferrari 296 Speciale ditawarkan dalam empat pilihan warna yang diinspirasikan dari dunia perlumbaan: Rosso Scuderia, Blu Tour De France, Nero Daytona, dan Argento Nürburgring.
Grafik luaran kereta diinspirasikan daripada 499P dengan warna Giallo Modena.
Ia menampilkan logo WEC yang dilukis tangan, bendera Itali pada bampar hadapan, serta nombor perlumbaan yang boleh disesuaikan mengikut pilihan pelanggan.
Model yang diperkenalkan di Le Mans ini menggunakan nombor 51.
Nombor ini mencatat sejarah apabila Alessandro Pier Guidi, James Calado, dan Antonio Giovinazzi merangkul kemenangan pada tahun 2023.
Tahun tersebut menandakan kembalinya Ferrari ke perlumbaan ketahanan peringkat tertinggi, bertepatan dengan ulang tahun ke-100 perlumbaan di Perancis itu.
Bahagian dalam kabin dilengkapi dengan kerusi perlumbaan yang dibalut Alcantara® hitam thermoformed (dibentuk melalui proses haba), dengan sisipan daripada fabrik kalis api yang sama yang digunakan pada sut pemandu rasmi.
Nombor perlumbaan juga dibuat pada gentian karbon di bahagian dalam, manakala permukaan lantai kaki logam boleh disesuaikan atas permintaan.
Setiap perincian direka untuk mencerminkan pengalaman pemanduan yang mendalam dan rasa kekitaan di kalangan mereka yang bersemangat dalam persaingan.
Sentuhan peribadi ini dilengkapkan dengan plak karbon dan ambang pintu gentian karbon dengan teks dedikasi eksklusif yang boleh disesuaikan.
296 Speciale: Evolusi Ekstrem Kenikmatan Pemanduan
296 Speciale adalah versi istimewa bagi berlinetta enjin tengah-belakang Ferrari, mewakili evolusi ekstrem 296 GTB dan menetapkan penanda aras baharu dalam kenikmatan pemanduan.
Sistem kuasa hibrid plug-in ini menggabungkan enjin V6 turbo berkembar 120 darjah dengan motor elektrik, menghasilkan jumlah output kuasa mencecah 880 cv.
Enjin pembakaran dalaman (ICE) telah diringankan dan diperkukuh dengan komponen yang turut berasal dari Formula 1.
Transmisi DCT 8-kelajuan telah dioptimumkan dengan strategi tukaran cepat (fast shift) Ferrari untuk memaksimumkan daya kilas elektrik dan menjadikan penukaran gear lebih pantas dan menarik.
Berat telah dikurangkan, manakala daya mendap aerodinamik pula meningkat sebanyak 20% berbanding 296 GTB.
Casisnya diberi perhatian semula untuk memberikan tindak balas yang lebih responsif dan tepat di litar.
Strategi perisian extra boost yang baharu pula memastikan kuasa penuh tersedia semasa pusingan berprestasi tinggi di litar.
Reka bentuknya yang kompak menggabungkan pelbagai ciri teknikal canggih.
Kereta ini menampilkan ‘sayap gamma’ di belakang, pemisah tergantung dan peresap yang lebih besar, sekali gus menyerlahkan gaya perlumbaan sejati.
499P: Kembali ke Puncak Ketahanan
499P merupakan jentera hiper yang menandakan kembalinya Ferrari ke kelas tertinggi Kejuaraan Ketahanan Dunia FIA pada tahun 2023, selepas 50 tahun tidak mengambil bahagian.
Direka mengikut peraturan LMH, ia menampilkan casis monocoque gentian karbon dan suspensi double wishbone.
Sistem kuasa hibridnya menggabungkan enjin V6 turbo berkembar 3.0 liter sebagai komponen struktur utama, bersama dengan motor elektrik hadapan.
Gabungan ini menghasilkan sekitar 680 ps dan membolehkan pacuan semua roda aktif pada kelajuan melebihi 190 kilometer sejam (km/j).
Unit elektrik ini juga menyumbang kepada brek penjanaan semula. Aerodinamik dioptimumkan untuk kecekapan dan kestabilan pada semua jenis litar.
499P memenangi perlumbaan 24 Hours of Le Mans pada 2023 dan 2024 dengan kereta bernombor 51 dan 50 dari pasukan rasmi Ferrari, AF Corse, sekali gus menandakan kepulangan yang penuh kejayaan ke perlumbaan ketahanan paling berprestij.
Ferrari Tailor Made: Penyesuaian Tiada Batasan
Ferrari Tailor Made ialah program eksklusif yang membolehkan pelanggan menyesuaikan setiap bahagian Ferrari mereka.
Ini bermakna mereka boleh memesan kereta yang benar-benar menunjukkan personaliti dan cita rasa unik. Pelanggan akan dibantu oleh sekumpulan pakar, yang diketuai oleh seorang pereka peribadi.
Pereka ini akan memahami kehendak pelanggan sambil memastikan standard estetik Ferrari yang tinggi sentiasa dipatuhi.
Pelanggan boleh memilih daripada tiga koleksi utama iaitu Classica, Inedita, dan Scuderia.
Spesifikasi Teknikal 296 Speciale
Enjin Pembakaran Dalaman
- Enjin: 2992 cc V6 – 120° turbo berkembar, takungan kering
- Gerek dan lejang: 88 mm × 82 mm
- Kuasa maksimum: 515 kW (700 cv / 690 PS) @ 8000 rpm
- Tork maksimum: 755 Nm @ 6000 rpm
- Kelajuan enjin maksimum: 8500 rpm
- Nisbah mampatan: 9.4:1
- Output kuasa spesifik: 234 cv/l (231 ps/l)
Sistem Hibrid
- Output kuasa maks. sistem hibrid: 648 kW (880 cv)
- Kuasa maksimum dalam mod eDrive: 113 kW (154 cv)
- Kapasiti bateri: 7.45 kWj
- Julat elektrik maks.: 25 km
Berat dan Dimensi
- Panjang: 4625 mm
- Lebar: 1968 mm
- Ketinggian (dalam keadaan berat kerb): 1181 mm
- Jarak roda: 2600 mm
- Berat kering*: 1410 kg
- Nisbah berat kering/kuasa: 1.60 kg/cv
- Pembahagian berat: 40% hadapan / 60% belakang
- Kapasiti tangki bahan api: 65 l (10 l simpanan)
- Kapasiti ruang bagasi: 169 l
Tayar dan Rim
- Hadapan: 245/35 ZR 20 J9.0
- Belakang: 305/35 ZR 20 J11.0
Brek
- Hadapan: CCM, 398 x 223 x 38 mm
- Belakang: CCM, 360 x 233 x 32 mm
Transmisi dan Kotak Gear
- 8-kelajuan dual clutch F1 DCT
Sistem Kawalan Elektronik
- SSC 9.0, TC, eDiff, SCM, FDE2.0, EPS, ABS Evo/EBD semua julat-semua cengkaman dengan pemulihan tenaga extra boost.
Prestasi
- Kelajuan maksimum: >330 km/j
- 0–100 km/j: 2.8 s
- 0–200 km/j: 7.0 s
- 200-0 km/j: 106 m
- Masa pusingan Fiorano: 1’ 19” 000
*** Dengan kandungan pilihan
**** Dengan bahan api 98 RON
***** Dengan eManettino dalam mod ‘Qualify’
****** Kitaran WLTP



































