
FORD BRONCO DIPANGGIL SEMULA, REKAAN TALI PINGGANG KELEDAR TERSEMBUNYI
Rekaan tali pinggang keledar yang sukar untuk dikancing mengakibatkan 175 ribu unit Ford Bronco dipanggil semula di Amerika Syarikat.
Menurut laporan, kecacatan reka bentuk membolehkan selak tali pinggang keledar pada tempat duduk baris depan tersembunyi di belakang disebabkan tiada ruang yang mencukupi antara tempat duduk dan trim dalaman.

Keadaan ini akan menyukarkan pemandu dan penumpang untuk mencari dan memakai tali pinggang keledar sewaktu memandu.
Agensi National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA) berpendapat sekiranya perkara itu berlaku, ia mungkin akan meningkatkan risiko kecederaan atau kematian memandangkan pengguna berasa sukar untuk memasang tali pinggang keledar.
Ford akan melancarkan kempen panggil semula bermula bulan depan, di mana sekeping klip akan ditambah pada selak tali pinggang keledar bagi menghalangnya meluncur ke belakang.