
HONDA RECALL HAMPIR 1.2 JUTA KERETA, MASALAH KAMERA UNDUR
Honda baru-baru ini telah mengumumkan kempen panggil semula melibatkan 1,198,280 unit kenderaan disebabkan masalah kamera undur gagal berfungsi.
Antara yang terjejas termasuklah Honda Odyssey 2018-2023, Honda Passport 2019-2023 serta Honda Pilot 2019-2022.
Menurut dokumen, masalah tersebut dikatakan berpunca daripada kabel sepaksi Media Oriented Systems Transport (MOST) yang tidak direka dengan baik dan menyebabkan skrin audio berkelip.
Bunyi ‘pop’ dan ‘crackle’ juga mungkin akan kedengaran, namun masalah yang paling besar ialah video kamera undur yang mungkin tidak akan dipaparkan pada skrin tersebut.

Sepanjang tempoh enam tahun (Mei 2017-Jun 2023), sebanyak 273,870 tuntutan waranti telah diterima oleh Honda.
Daripada 1.2 juta kenderaan yang dipanggil semula, dianggarkan 50 peratus mempunyai kabel bermasalah.
Sebelum ini, 330,000 unit Honda Odyssey, Passport dan Pilot telah dipanggil semula akibat cermin sisi yang boleh tercabut sewaktu pemanduan, sementara separuh juta CR-V telah dipanggil pada April lalu disebabkan isu sub-rangka belakang.
450,000 unit Odyssey, CR-V, Insight dan Accord telah dipanggil semula Mac lalu disebabkan oleh isu tali pinggang keledar.







