Buletin

FORD MUSTANG LITHIUM. EV BERKUASA 900HP DAN TRANSMISI MANUAL 6-KELAJUAN!

Ford dan Webasto dilapor membangunkan sebuah Ford Mustang yang dijana oleh kuasa elektrik sepenuhnya dan disifatkan sebagai model paling menarik yang dipamerkan pada acara SEMA tahun ini.  

Dikenali sebagai Lithium, kereta muscle itu didakwa mempunyai kuasa 900hp dan tork 1,355Nm. Lebih menarik lagi, jentera sifar emisi itu menampilkan transmisi manual enam kelajuan bagi mengagihkan kuasa tersebut ke sistem pacuan empat rodanya. 

Transmisi manual Getrag itu dibantu oleh half shaft daripada Ford Performance bagi memastikan kuasa dapat disalurkan ke rim tempaan ringan Forgeline yang dibalut tayar Michelin Pilot Sport 4S dengan lancar. 

“Ford sememangnya mahu mengelektrifikasikan model-model popular kami. Hasil kerjasama dengan Webasto, prototaip Mustang ini menjadi peluang terbaik untuk membuktikan kepada pelanggan apakah yang mampu ditawarkan oleh rangkaian kuasa elektrik dari segi prestasi terhadap jentera yang mereka suka,” kata Ketua Pembangunan Produk Ford, Hau Thai-Tang. 

Mustang Lithium hadir dengan komponen badan gentian karbon. Ia juga satu inci lebih rendah, dipasang dengan rim bersaiz 20 inci, dilengkapi Pek Pengendalian Trek dan pendakap topang daripada Ford Performance, brek Brembo enam omboh yang diambil daripada model Shelby GT350R dan peresap udara belakang. 

Tidak ketinggalan hud Webasto jernih, tingkao polikarbonat, pengecas TurboDX da pengecas mudah alih TurboCord. 

Apa paling menarik perhatian pastinya motor elektrik Phi-Power dual core yang dipadankan bersama sistem bateri Webasto berkapasiti 800 volt dan teknologi EVDrive.

Ia berfungsi menyahcaj mega-watt kuasa elektrik. Harus tahu juga bahawa 800 volt ialah dua kali ganda voltaj yang boleh didapati pada kebanyakan kereta elektrik di pasaran sekarang.

Menurut Ford, penyelesaian itu membolehkan sistem menjadi lebih ringan, berkuasa dan menjana kurang haba. Pada masa sama menyediakan lebih kuasa elektrik berbanding sistem-sistam yang lain. 

Sebaik sahaja bergerak, Mustang Lithium menawarkan mode pemanduan unik yang membolehkan jumlah tork disesuaikan dengan corak pemanduan berbeza. Pemandu boleh memilih di antara mode Valet, Sport, Track dan Beast menerusi skrin sentuh bersaiz 10.4 inci. 

Ford merancang untuk melabur lebih AS$11.5 bilion (RM47.5 bilion) untuk mengelektrifikasikan kenderaannya menjelang tahun 2022. Jadi, pengguna boleh menanti ketibaan SUV berinpsirasikan Mustang tahun depan trak F150 elektrik dalam tempoh beberapa tahun lagi.

GALERI

Google ads
Back to top button