,
Buletin

MINI MALAYSIA LANCAR CLUBMAN 2019. RM299K SEUNIT

MINI Malaysia memperkenalkan MINI Clubman terbaharu yang telah menerima sentuhan terkini pada bahagian luaran dan dalaman ke pasaran tempatan.

“Sehingga hari ini, kami telah menyerahkan lebih 900 unit MINI. Angka ini jelas menunjukkan permintaan kian meningkat terhadap kereta MINI.

“Justeru, kami berbesar hati untuk memperkenalkan satu lagi model MINI kepada warga MINIacs,” kata Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl.

MINI Clubman 2019 didatangkan dengan rekaan dan warna merah yang baru. Antara penambahbaikan yang ada termasuklah lampu utama LED berbentuk bulatdengan lampu nyalaan siang (DRL), gril radiator dan lampu kabus.

Bahagian belakang pula cukup versatil dengan bukaan pintunya yang unik. Ruang kargo berkapasiti 360 liter itu boleh ditingkatkan menjadi 1,250 liter apabila tempat duduk belakang dilipat rata.

Jentera itu juga diserlahkan dengan rim aloi bersaiz 18 inci dua tona British MINI Yours.

MINI Clubman yang hadir dalam varian Cooper S menggunakan enjin MINI TwinPower Turbo 2.0 liter. Ia menjana kuasa 192hp dan tork 280Nm, serta mampu memecut 100km/j dalam masa 7.2 saat dengan pecutan maksimum 228km/j.

Enjin itu kemudian dipadankan dengan transmisi klac bekembar 7-kelajuan yang menjanjikan penukaran gear pantas. Penggunaan bahan api pula sekitar 6.2l/100km. Penjimatan itu dibantu oleh fungsi start/stop. Selain fungsi cruise ketika menggunakan mode MID dan GREEN.

Stereng dibalut kulit MINI Yours Walknappa, sementara tempat duduk pula menggunakan upholsteri kulit berwarna hitam. Ia juga hadir dengan logo Union Jack pada penyandar kepala,

Ambien dalaman MINI Clubman dimewahkan lagi dengan lampu berwarna biru. Iluminasi itu turut menerangi bahagian bezel pintu, sisi kokpit dan konsol tengah. Anda pasti berpuas hati dengan sistem bunyi Harman Kardon bersama 12 unit pembesar suara.

Aspek ketersambungan terdiri daripada skrin sentuh beresolusi tinggi bersaiz 6.5 inci yang cukup mudah untuk dioperasikan. Lengkap teknologi SIM 4G dan MINI Connected, ia menawarkan ciri-ciri keselamatan maksimum dengan Panggilan Kecemasan Pintar dan MINI TeleServices.

Kemas kini pada aplikasi MINI Connected memberikan para pemilik MINI Clubman pelbagai rangkaian perkhidmatan digital seperti Concierge Services, Apple CarPlay dan MINI Online.

Ciri MINI Remote Services pula berfungsi memaparkan lokasi kenderaan, takat bahan api dan perincian status kenderaan yang lain menerusi peranti mudah alih.

Pelanggan ditawarkan dengan beberapa warna menarik seperti merah, hijau, putih, kelabu, perak dan biru.

Ditawarkan pada harga RM298,888 seunit, MINI Clubman sudah berada di semua pengedar MINI pada 7 November 2019.

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button