
SEGALANYA TENTANG FORD MUSTANG
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan membincangkan tentang sebuah jentera yang agak popular di Malaysia sekarang iaitu Ford Mustang. Jentera yang kita akan bincangkan ini merupakan generasi ke-6 didalam keluarga Mustang dan diberikan kod S550. Ada 2 varian yang popular di Malaysia iaitu varian 2.3L EcoBoost dan GT 5.0L V8.
Kenapa ianya sangat popular ? Ini merupakan antara sebabnya :-
1. Mustang pertama dengan konfigurasi pemanduan sebelah kanan.
2. Masih boleh membuat pinjaman bank dengan tanda harga yang munasabah (recond).
3. Perspektif masyarakat.
Dan disebabkan ini lah ramai usahawan-usahawan berjaya memilih jentera ini berbanding model-model yang lain. Lebih-lebih lagi melibatkan perniagaan Multi Level Marketing tau MLM. Siapa tak terliur tengok Mustang. Ye dok ?
Sekarang kita pergi kepada ciri-ciri jentera ini. Ada yang mengatakan jentera ini “Muscle Car”. Ada juga yang berpendapat sebaliknya.
Jentera ini mempunyai 2 kelas berbeza iaitu :-
1. Muscle
2. Pony
Bagi kelas Muscle, sudah tentulah model yang dilengkapi dengan enjin 5.0L V8 dan 5.2L V8. Rasanya tidak perlu saya ceritakan lagi ciri-ciri Muscle Car kerana daripada aksara “Muscle” itu sendiri sudah memberikan gambaran yang jelas.
Bagi kelas “Pony”, model yang dilengkapi enjin 2.3L EcoBoost dan 3.7L Cyclone V6 terletak di dalam kelas ini. Hal ini kerana kedua-dua enjin ini mempunyai kapasiti yang kecil. Selain itu, “Pony Car” membawa maksud jentera keluaran Amerika yang mampu milik, kompak, Coupe/Convertible yang mempunyai gaya sporty. Antara ciri-ciri “Pony Car” ialah :-
1. Pacuan roda belakang
2. Bonet depan yang panjang
3. But belakang pendek
4. Pengeluaran dan pilihan yang banyak serta komponen kenderaan yang boleh berkongsi dengan model lain.
Ciri-ciri diatas ada pada Mustang Tuan-Tuan dan Puan-Puan. Eh, kan 2.3L dan 3.7L besar juga kapasitinya ? Masih tak layak ke dipanggil Muscle Car ? Hmm. Besar di Malaysia je, bukan di Amerika sana. Di Amerika sana Honda Accord pun kapasiti enjinnya 3.5L berkod J35Z3. Sini je 2.4L. Haha
Kita pergi kepada enjin, di atas saya ada sebut 4 jenis kapasiti enjin. Tapi di Malaysia 2 jenis sahaja yang popular. Berikut merupakan jenis enjin Ford Mustang generasi ke-6 ini.
– 2.3L EcoBoost 4 silinder
– 3.7L Cyclone V6
– 5.0L Coyote V8
– 5.2L Vodoo V8
Keempat-empat enjin ini mempunyai kapasiti yang berbeza. Di Malaysia yang ada hanyalah versi 2.3L EcoBoost dan GT 5.0L Coyote V8. Setahu saya belum ada syarikat pengimport kenderaan yang membawa varian 3.7L dan 5.2L lagi untuk dijual. Mungkin ada tapi memang saya belum pernah nampak.
Untuk model tahun 2015-2018, enjin 2.3L Ecoboost Turbo ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 310hp pada 5,400rpm dan daya kilas sebanyak 434Nm pada 3,000rpm. Bagi model 2018, tiada peningkatan kuasa kuda namun daya kilas ditingkatkan kepada 447Nm pada 3,000rpm.
Untuk model 2015-2018, enjin Coyote NA yang bersesaran 4,951cc ini mampu menghamburkan 415hp pada 6,500rpm dan daya kilas sebanyak 530Nm pada 4,250rpm. Untuk model 2018, sesaran enjin ini telah ditingkatkan kepada 5,038cc sekaligus meningkatkan kuasa kepada 444hp pada 7,000rpm namun daya kilas menurun kepada 527Nm pada 7,000rpm.
Ish, kuat juga enjin 2.3L EcoBoost ni kan ? 310hp tu. 4 silinder je pun. Daya kilas pun tinggi. Mesti laju giler kan ? Ermm. Berat jentera ni dalam lingkungan 1.6 tan bagi model Ecoboost dan 1.7 tan bagi model V8.
Honda CRV generasi ke-5 yang besar gedabak tu pun baru lingkungan 1.5 tan. Jadi, nisbah kuasa kepada berat Ford Mustang 2.3L EcoBoost ini adalah bersamaan 0.19hp per Kg.
Untuk perbandingan, Volkswagen Golf R Mk7 juga turut mempunyai nisbah kuasa kepada berat sebanyak 0.19hp per Kg. Kenapa bandingkan dengan Golf R ? Kerana Golf R yang anda nampak kecil itu pun mempunyai berat sebanyak 1.5 tan dan enjin bersesaran 2.0L Turbo.
Sekarang kita pergi pada sistem transmisi. Untuk model-model yang berada di Malaysia ini, lazimnya jentera dilengkapi dengan sistem transmisi 6-kelajuan automatik berkod 6R80 daripada ZF.
Ford juga ada mengeluarkan jentera bersama sistem transmisi 6-kelajuan manual namun saya tidak pasti di Malaysia ini ada atau tidak yang membawa masuk varian ini. Untuk model yang bermula tahun 2018, setiap jentera dilengkapi dengan sistem transmisi 10-kelajuan automatik berkod 10R80 daripada perkongsian teknologi Ford dan General Motors.
Eh ? 6-kelajuan Automatik? 6R80 ? Macam pernah dengar kan?.
Ya Tuan-Tuan. Anda tidak salah dengar. Kotak gear ini adalah sama seperti kotak gear yang terdapat pada Ford Ranger 2.2/3.2 dan Mazda BT-50 2.2/3.2 keluaran tahun 2011 hingga sekarang. Selain itu, kotak gear ini juga turut dikongsi bersama oleh Ford Transit, Ford Everest dan Ford F-150. Haha. Mudah bukan ?
Sistem suspensi jentera ini adalah dari jenis topang MacPherson bagi bahagian hadapan dan Integral-Link Independent with Coil Spring bagi bahagian belakang.
Penggunaan sistem suspensi bebas bagi bahagian belakang pada Mustang generasi ke-6 ini adalah satu peningkatan yang amat baik. Hal ini kerana model sebelum-sebelumnya menggunakan “Solid Axle” bersama “Panhard Rod”.
Macam apa ? Macam 4×4. Disebabkan itu lah berkurun lamanya Mustang dikenali dengan pengendaliannya yang kelaut. Namun, pihak Ford mengambil serius tentang hal ini dan peningkatan ini adalah tindakan yang harus dipuji.
Saiz tayar bagi jentera ini adalah 235/50R18 atau 255/40R19 bagi model EcoBoost dan 255/40R19 (depan) dan 275/40R19 (belakang) bagi model GT.
Cerita pula pasal keselamatan jentera ini, selamat ke tak selamat ? Pada tahun 2015, pihak National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA) memberikan 5 bintang kepada jentera ini setelah melalui ujian pada bahagian depan, belakang dan sisi serta pusingan.
Namun, pada tahun 2017, pihak Euro Ncap memberikan 2 bintang daripada 5. Pihak Ford kemudiannya membuat sedikit penambahbaikan dan melalui ujian sekali lagi. Hasilnya, 3 bintang daripada 5 dan keputusan itu kekal sehingga sekarang.
Shelby GT350
Model ini diperkenalkan kepada umum pada tahun 2015. Model ini dijana oleh enjin 5.2L Vodoo yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 526hp pada 7,500rpm dan daya kilas sebanyak 582Nm pada 4,750rpm. Enjin ini sebenarnya enjin Coyote yang bersesaran 5.0L dan diubahsuai khusus untuk Shelby GT350.
Model ini direka untuk lebih fokus kepada pemanduan trek berbanding GT500 yang fokus pada kelajuan penuh. Jentera ini menerima banyak penambahbaikan antaranya :-
– Cesi yang ditala khusus
– Aero Kit yang direka khusus
– Sistem Suspensi MagneRide
– Brembo Big Brake Kit
– Sistem Transmisi 6-kelajuan Manual yang telah diringankan
– Kerusi Recaro
Banyak lagi komponen-komponen yang telah ditukar materialnya kepada Carbon Fibre untuk mengurangkan berat jentera. Menurut pihak Ford, saingan utama GT350 ini adalah Chevrolet Camaro Z28, Porsche GT3 dan BMW M4.
Tidak cukup dengan itu, Ford memperkenalkan pula versi GT350R. Versi ini senang cerita sama seperti Evo RS dan Skyline GTR N1. Apa pun tiada.
Apa yang tidak perlu akan dibuang. Kerusi belakang, penghawa dingin, sistem audio, bahkan karpet pun dibuang untuk mengurangkan berat jentera.
Ada lagi, Ford memperkenalkan rim yang dihasilkan daripada Carbon Fibre dan ianya merupakan ciri asas bagi versi GT350R. Namun, enjin yang digunakan adalah sama seperti versi GT350 tanpa apa-apa pengubahsuaian.
Hasilnya, versi GT350R adalah lebih ringan sebanyak 59kg berbanding GT350. GT350R ini hanya dikelurkan sebanyak 37 unit sahaja dan unit pertama berkod #001 dilelong pada harga USD1Juta.
Mungkin kerana mereka bosan sebab semua 37 unit habis dijual, pihak Ford melancarkan pula versi GT350R Technology Package. Macam mana tu?
Tak payah susah susah fikir. Ambil model GT350R yang kosong tadi tu dan masukkan semula penghawa dingin, sistem audio dan segala macam aksesori. Versi ini menurut Ford adalah untuk pelanggan yang bukan sahaja fokus pada trek namun boleh juga membawanya ke “Autoshow”.
Hahaha. Berpusing-pusing juga Ford ni, sama macam Presiden Amerika punya perangai.
Jadi Tuan-Tuan, inilah sedikit sebanyak yang saya boleh huraikan tentang Ford Mustang generasi ke-6 ini yang menjadi dambaan rakyat Malaysia.
Berbalik kepada 3 perkara utama diatas tadi yang menjadikan jentera ini popular, kebanyakan usahawan (tidak semua) memerlukan kereta sebagai alat untuk menarik perhatian selain mengangkat status sosial mereka. Jadi, jentera ini menjadi pilihan selain GTR kerana harganya yang masih munasabah dan masih layak untuk menerima pembiayaan daripada bank dengan jumlah yang besar. Nak pakai Ferrari 458 atau Lamborghini Aventador mahupun Maserati GranTurismo MC Stradale mungkin boleh tercirit. Harga dah meninggal, bank pula tengok atas bawah atas bawah.
Konfigurasi pemanduan sebelah kanan juga merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kenaikan populariti jentera ini di Malaysia. Sebelum ini ada pengedar kereta recon dan terpakai cuba menjual model sebelumnya iaitu Mustang S197 II namun agak sukar kerana konfigurasi pemanduan sebelah kiri.
Yang paling hebat adalah persepsi masyarakat. Baik peminat baik yang tidak minat. Bila perdebatan tentang perihal Ford Mustang ini semakin hangat, secara tidak langsung popularitinya akan melonjak naik dengan cepat.
“Eleh, 2.3L je ? Tak laju pun”.
“Kau ada ? Setakat pakai Honda sibuk nak cakap orang. Tak mampu jeles lah tu”. Ayat-ayat ini sering kedengaran dan banyak lagi yang lebih ekstrem.
Bagi saya, kalau tiada benda yang baik untuk dituturkan, sebaiknya diam. Suka tak suka kita simpan dalam hati. Mudah.
Berdasarkan pemerhatian saya, model 2.3L EcoBoost banyak menjadi pilihan kerana tag harganya yang tidak lebih daripada RM300,000 bagi model recon. Bagi model GT pula, ada tapi tidak banyak. Hal ini kerana atas faktor cukai jalan, insurans serta harga yang masih tinggi.
Bagi pengedar sah Ford, mungkin agak sukar bagi mereka. Dengan tag harga RM488,888 bagi model 2.3L EcoBoost dan RM598,888 bagi model GT tak ramai yang mampu memilikinya.
Ford Mustang ini ada peminatnya, ada juga yang kutuk. Namun, minat orang lain-lain. Janganlah kita mengeji kenderaan itu jika kita tidak meminatinya.
Terkadang apa yang kita minat pun nampak hina dimata orang. Ada yang beli untuk tujuan pemasaran. Ada yang beli untuk mengangkat status sosial diri. Ada yang memang beli kerana minat. Ada yang beli untuk dijadikan sebagai koleksi. Apa pun tujuan, sematkan di dalam fikiran. Ini merupakan jentera yang mahal dan kos penjagaannya adalah tinggi serta alat gantinya tidak senang untuk dijumpai.
Akan datang saya akan berkongsi pula tentang kos penjagaan kuda dari Amerika in. InsyaAllah.