Artikel Pilihan

INI KOS PENJAGAAN SEBUAH FORD MUSTANG!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan mengupas serba sedikit tentang kos penjagaan jentera yang agak popular di Malaysia iaitu Ford Mustang.

Tempoh hari saya sudah berkongsi dengan anda tentang perihal Ford Mustang ini. Boleh rujuk di artikel “SEGALANYA TENTANG FORD MUSTANG”.

Umum mengetahui bahawa Ford Mustang ini bukanlah murah harganya. Oleh itu, disini saya rungkaikan sedikit tentang kos penjagaan jentera ini untuk memudahkan pemilik atau bakal pemilik membuat rujukan.

Baiklah, kita mulakan.

🛠SERVIS

🔧Engine Oil Service Package
Bagi model Ford Mustang GT keluaran tahun 2015-2017, jentera ini menggunakan enjin 8 silinder V8 yang berkapasiti 4,951cc(5.0L)Naturally Aspirated(NA). Besar bukan ? Walaupun kapasiti enjin 5.0L, tidak bermakna minyak enjin yang digunakan adalah 5 liter. Menurut pihak Ford, kapasiti minyak enjin yang diperlukan untuk enjin ini adalah 8quarts atau bersamaan 7.6 liter. Kelikatan yang disarankan adalah 5W-20 Fully Synthetic. Jenama ikut korang lah. Kalau pihak Ford semestinya mereka cadangkan minyak jenama mereka iaitu Ford Motorcraft. Harga pula dalam lingkungan RM700-RM800. Kalau pakai minyak murah, lagi murah lah harganya. Lagi-lagi kalau pakai ibu segala minyak.

Bagi varian 2.3L EcoBoost, varian ini menggunakan enjin berkapasiti 2,253cc(2.3L) dengan bantuan sistem pendesak turbo. Kapasiti minyak enjin yang diperlukan adalah 5.7quarts atau 5.4 liter. Kelikatan yang disarankan adalah 5W-30 Fully Synthetic. Harga pula dalam lingkungan RM400-RM600. Sama juga, jika pakai minyak mahal, harganya akan jadi makin mahal. Kalau pakai minyak murah, harga akan jadi lebih murah. Kalau pakai minyak masak, anda Legend.

🔧Transmission Service Package
Sistem Transmisi jentera ini menggunakan sistem transmisi automatik 6-kelajuan berkod 6R80. Kedua-dua varian ini menggunakan sistem transmisi yang sama. Jadi, kosnya juga adalah sama. Bukan itu sahaja, kotak gear automatik ini juga turut dipakai oleh Ford Ranger 2.2/3.2 dan Mazda BT50 2.2/3.2. Disini tiada masalah sukar mendapatkan minyak dan alat ganti kerana kedua-dua model pikap ini agak banyak diatas jalan raya. Bukan itu sahaja, kosnya pun sama juga. Apa yang perlu ditukar adalah

– ATF (Ford Mercon LV)
– Strainer/Filter
– Transmission Pan Gasket

Harga dalam lingkungan RM700-RM900 bergantung kepada tempat.

Jangan dilupakan juga gandar belakang ye tuan-tuan. Gandar belakang juga merupakan komponen yang sentiasa bergerak dan memerlukan penyelenggaraan berkala. Untuk gandar belakang, cukup dengan hanya menukar minyak sahaja. Kapasiti minyak yang diperlukan adalah 1.5 liter. Kelikatan minyak yang disarankan adalah 75W-85 kerana gandar ini dilengkapi LSD. Jangan pula bantai masuk 75W-140. Harga dalam lingkungan RM250-RM350

🛠COMMON WEAR & TEAR PARTS

Bila sampai bab ni, kena lah terima hakikat bahawa wear & tear parts perlu ditukar adalah sesuatu yang tak dapat dielakkan. Hal ini kerana ianya memang dicipta untuk digunakan sehingga habis.

🔧Pad Brek Depan (Front Brake Pad)
Untuk varian Mustang GT, ianya dilengkapi dengan angkup brek 6 piston. Bila angkup brek besar, pad brek juga turut besar. Yang besar-besar ni jarang murah. Harganya dalam lingkungan RM2,250-RM3,500. Lain kedai lain harga. Tetapi harganya dalam lingkungan ini.

Bagi varian Mustang 2.3L EcoBoost, kebanyakannya dilengkapi dengan angkup brek 2 piston. Jadi tidak lah besar sangat. Harganya pun sedang-sedang sahaja bak kata penyanyi dangdut Iwan. Kosnya dalam lingkungan RM500-RM700 sahaja. Jauh beza.

🔧Pad Brek Belakang(Rear Brake Pad)
Untuk pad brek belakang, tak leceh sangat. Satu oiston sahaja kerana berkongsi fungsi bersama “Parking Brake”. Harganya dalam lingkungan RM1,200 untuk Mustang GT dan RM500-RM600 untuk Mustang EcoBoost.

🔧Rotor Brek(Brake Rotor/Disc)
Rotor brek adalah satu komponen yang akan habis seiring dengan kekerapan penggunaan. Jika sudah sampai masanya, ianya mestilah ditukar. Wajib ! Bukan Harus. Ingat, brek sangat penting. Kalau nak bawa kereta tiada brek, pergi kawasan lapang sorang-sorang. Jangan menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.

Kos bagi menukar keempat-empat rotor bagi Mustang GT adalah dalam lingkungan RM4,000-RM5,000. Untuk Mustang EcoBoost pula, harganya rendah sedikit dalam lingkungan RM2,500-RM3,000. Jika ada kedai alat ganti di tempat anda yang mengambil jenama OEM seperti Zimmermann mungkin anda akan dapat harga yang lebih murah. Mungkin lah.

🔧Penapis Udara(Air Filter)
Penapis udara fungsinya untuk menapis habuk serta bendasing daripada masuk ke Turbo/Throttle Body lalu ke Intake Manifold dan seterusnya ke enjin. Komponen ini lambat laun akan kotor juga dan perlu ditukar. Harganya dalam lingkungan RM120-180 bagi varian Mustang GT dan juga EcoBoost.

🔧Penapis Udara Penghawa Dingin(A/C Filter)
Fungsinya seperti penapis udara, tetapi komponen ini menapis habuk dan bendasing daripada masuk ke dalam kabin penumpang sekaligus memberikan kualiti udara yang baik. Jika sampai masanya, ia akan kotor dan juga berkulat. Kos jika hendak menukar komponen ini dalam lingkungan RM120-RM180. Komponen ini dikongsi bersama oleh kedua-dua varian GT dan EcoBoost.

🔧Tayar
Saiz tayar bagi jentera ini adalah 235/50R18 atau 255/40R19 bagi model EcoBoost dan 255/40R19(depan) dan 275/40R19(belakang) bagi model GT. Harga boleh survey sendiri di kedai tayar berdekatan dengan anda. Cuma saya nak pesan, pakai tayar baik sikit. Jentera ni agak kelaut pengendaliannya jika dipandu ketika hujan.

🔧Tali Sawat(Belt)
Kedua-dua varian ini mempunyai 2 “Serpentine Belt” yang memacu A/C Compressor dan juga Alternator. Akibat daripada penggunaan serta usia ditambah pula dengan tekanan haba di dalam ruang enjin, unit tali sawat ini akan rosak serta merekah. Jika ada tanda-tanda rekahan, sebaiknya ditukar dengan segera sebelum ianya putus di tengah. Nanti tak pasal-pasal viral Mustang tersadai tepi jalan. Malu woi ! Kos adalah dalam lingkungan RM120-RM250 bagi setiap satu unit tali sawat.

🔧Palam Pencucuh(Spark Plug)
Jika kenderaan anda mengalami masalah “misfiring”, komponen ini lah yang sepatutnya diperiksa dahulu. Penggunaan berpanjangan akan mengibatkan elektrod palam pencucuh ini habis/rosak. Jika rosak, semestinya perlu ditukar.

Untuk varian GT, kosnya adalah dalam lingkungan RM60-RM90 bagi satu unit palam pencucuh. Enjin V8 semestinya memerlukan 8 palam pencucuh. Hahaha. Darab lah dengan 8. Bagi varian EcoBoost, semestinya pemiliknya boleh menarik nafas lega kerana 4 palam pencucuh sahaja diperlukan. Kosnya dalam lingkungan RM45-RM70 bagi satu unit palam pencucuh.

🔧Gegelung Pencucuh(Ignition Coil)
Jika masalah “misfiring” masih berlaku selepas menukar palam pencucuh, besar kemungkinan komponen ini yang bermasalah. Cuma komponen ini tidak perlu ditukar secara set seperti palam pencucuh. Kalau rosak satu tukar satu pun boleh. Tak perlu tukar semua. Kosnya dalam lingkungan RM550 seunit bagi varian EcoBoost dan RM350 seunit bagi varian GT.

🔧Engine Mount
Macam mana nak tahu rosak ? Kalau enjin tu bergegar lain macam je maknanya Engine Mount rosak lah tu. Bagi varian EcoBoost, kos yang diperlukan dalam lingkungan RM1,300-RM1,500 bagi sepasang Engine Mount. Untuk varian GT, kosnya dalam lingkungan RM800-RM1,200 bagi sepasang Engine Mount. Jika dah tukar Engine Mount, sebaiknya tukar sekali Transmission Mount yang menelan kos dalam lingkungan RM450-RM600.

🔧Pengelap Cermin(Wiper Blade)
Bagi komponen ini, apa sahaja kenderaan yang mempunyai cermin pasti mengalami masalah yang sama. Wiper Blade bergegar ketika operasi, lap tak bersih, macam-macam lagi. Solusinya senang sahaja. Tukar. Buat sendiri pun boleh. Kosnya dalam lingkungan RM150-RM200 sepasang. Ford Mustang GT dan EcoBoost berkongsi Wiper Blade yang sama.

🔧Radiator
Komponen ni jarang rosak, melainkan jika dah betul-betul lama atau terlanggar sesuatu. Jika rosak, harganya dalam lingkungan RM1,700-RM2,100.

🔧Pam Air(Water Pump)
Masalah biasa komponen ini ialah kebocoran dan bilah pam rosak. Kos untuk menukar komponen ini dalam lingkungan RM450-RM600 bagi varian EcoBoost. Manakala bagi varian GT pula kosnya dalam lingkungan RM700-RM1,100.

🔧Thermostat
Komponen ini penting Tuan-Tuan. Jika rosak, Overheat lah jentera anda. Kos untuk menukar komponen ini dalam lingkungan RM450-RM600 bagi varian EcoBoost dan RM800-RM1,200 bagi varian GT.

🔧Penyerap Hentak(Shock Absorber)
Rasanya semua pengguna kereta di dunia tahu yang komponen ini akan hilang kecekapannya setelah penggunaan yang lama. Sama ada tidak efisyen atau yang lebih jelas iaitu bocor. Kos untuk menukar penyerap hentak jentera ini adalah dalam lingkungan RM700-RM900 seunit. Darab lah dengan 4 ye Tuan-Tuan. Mahal ? Mustang kut. Bukan Ford Fiesta.

🔧Pemampat Penghawa Dingin(A/C Compressor)
Macam biasa, suhu tak sejuk. Bila periksa A/C Compressor tak jalan. Apa lagi kan ? Terpaksa lah tukar. Tapi sebelum tukar, periksa spesifikasi A/C Gas jentera anda. Ada yang menggunakan gas R134A. Ada juga yang menggunakan gas R1234YF. Bagi yang menggunakan gas R134A, harganya lebih murah dalam lingkungan RM2,800-RM3,100. Bagi yang menggunakan gas R1234YF, harganya mahal sedikit dalam lingkungan RM3,800-RM4,500. Kalau rasa terlalu mahal cuba custom sendiri, masuk gas R12. Terus rasa macam dalam peti ais. Kahkahkah.

🔧Motor Penghidup(Starter Motor)
Jarang rosak, kalau kena masa dia nak rosak berdarah juga hidung. Kena pula baru nak keluar dating dengan anak datuk. Kereta pula tak boleh hidup. Malu tu bawa sampai ke anak cucu beb. Kos untuk menukar komponen ini dalam lingkungan RM900-RM1,500 bagi varian EcoBoost dan RM1,200-RM1,800 bagi varian GT.

Jadi Tuan-Tuan, inilah sedikit sebanyak yang saya dapat kongsikan dengan anda semua tentang kos penjagaan Ford Mustang EcoBoost dan GT.

BACA: FORD MUSTANG-KERETA SPORT DGN 2 STAR NCAP!

Harus diingat, pengeluaran jentera ini di Amerika sana tu, begitu juga alat gantinya. Ada tempat yang cas murah daripada harga yang dinyatakan diatas. Ada tempat yang cas mahal daripada harga yang dinyatakan diatas. Kenapa ? Kos penghantaran Tuan-Tuan. Kalau anda lihat online memang tak mahal mana. Tapi kos penghantaran mampu menjadikan harga yang anda lihat itu 3-4 kali ganda daripada harga asal.

Seperti yang dinyatakan juga diatas, topik ini berkisarkan kos servis serta “Common Wear & Tear Parts” sahaja. Belum masuk kerosakan yang mungkin atau masalah yang pelik-pelik berlaku pada jentera ini. Anda jangan terkejut jentera anda tersadai lama jika rosak. Kerana apa ? Kerana ketersediaan alat ganti itu. Tak banyak kedai alat ganti yang suka menyimpan “slow moving item” seperti Starter Motor dan Alternator contohnya. Import ye Tuan-Tuan.

Nasihat saya, jika anda beli jentera recond mahupun terpakai, buat Pre-Purchase Inspection pada jentera berikut untuk mengetahui keadaan sebenar jentera tersebut. Jika mahu tahu lebih lanjut, baca artikel ini “PERIKSA KERETA SEBELUM BELI ? INI 12 TIPS PENTING DARI KING YAZID”. Segalanya ada di dalam artikel tersebut. Pelaburan yang hanya berapa ratus untuk membuat Pre-Purchase Inspection mampu menjimatkan beribu ringgit wang anda. Dah jimat banyak baru boleh belanja Downline. Takdelah bayar asing-asing bila minum.

Ingatlah, tiada ciptaan manusia yang sempurna. Jangan mengharap terlalu tinggi. Lagi kompleks/mahal kereta itu, lagi pelik-pelik ragamnya. Semoga perkongsian kali ini dapat membantu pemilik serta bakal pemilik untuk mengatur bajet memelihara jentera ini.

Google ads
"
"
Back to top button