Buletin

FORD PANGGIL SEMULA 382 RIBU SUV, MASALAH KAMERA UNDUR PAPAR IMEJ BIRU

Ford memanggil semula lebih 382 ribu unit kenderaan, khususnya SUV di Amerika Syarikat disebabkan kamera undur memaparkan imej berwarna biru pada skrin paparan.

Masalah itu melibatkan 279,700 unit Explorer, 72,699 Lincoln Aviators, dan 30,360 unit Lincoln Corsair di mana kesemua model merupakan unit tahun 2020, 2021 dan 2022.

Menurut informasi daripada agensi National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA), model-model yang dilengkapi dengan kamera keliling 360 darjah dikatakan gagal mendapatkan input video daripada kamera undur, menyebabkan pemandu-pemandu SUV besar ini sukar untuk melihat apa yang ada di belakang kenderaan mereka.

Masalah yang melanda ini akan diselesaikan dengan kemaskini perisian yang boleh dibuat menerusi pengedar Ford yang sah.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan akibat masalah ini, namun terdapat 17 kes kemalangan kecil disebabkan oleh kamera yang gagal berfungsi.

Ini merupakan kes panggil semula terbaharu daripada Ford yang melibatkan barisan model yang lebih meluas.

Sebelum ini, Ford telah memanggil semula model Bronco Sport, Escape, Ford Expeditions dan Lincoln Navigators akibat risiko kebakaran.

Kes paling buruk, hampir tiga juta kenderaan Ford di Amerika Syarikat terjejas disebabkan masalah kenderaan yang boleh bergerak walaupun tuil gear sudah diletakkan pada posisi P.

Google ads
Back to top button