
AS MAHU SEKAT MERCEDES-BENZ? RANG UNDANG-UNDANG BAHARU CETUS KONTROVERSI
Mercedes-Benz berdepan kemungkinan tidak lagi dibenarkan menjual kenderaan yang mempunyai ciri sambungan digital (connected vehicles) di Amerika Syarikat (AS) sekiranya satu rang undang-undang baharu diluluskan Kongres negara itu.
Cadangan tersebut dikemukakan Jawatankuasa Perdagangan Senat AS yang mahu menyekat penjualan kenderaan bersambung daripada syarikat automotif yang mempunyai pegangan pemilikan melebihi 15 peratus oleh entiti dari China.
Langkah itu berpotensi memberi kesan kepada Mercedes-Benz kerana dua pelabur dari China memiliki hampir 20 peratus kepentingan dalam pengeluar kenderaan mewah Jerman berkenaan.
Rang undang-undang dwipartisan itu dibawa oleh Senator Elissa Slotkin dari Parti Demokrat dan Senator Bernie Moreno dari Parti Republikan. Ia bertujuan memperkukuhkan sekatan yang diperkenalkan semasa pentadbiran bekas Presiden Joe Biden terhadap kenderaan, perisian serta komponen automotif yang dikaitkan dengan China.
Menurut penyokong rang undang-undang itu, langkah berkenaan penting bagi mengelakkan data yang dikumpul oleh kenderaan di jalan raya AS dihantar kepada kerajaan China, sekali gus melindungi keselamatan negara.
Slotkin mendakwa kenderaan buatan China mempunyai keupayaan mengumpul pelbagai maklumat pengguna, manakala Moreno menyifatkan industri automotif China dibangunkan bukan sekadar untuk bersaing, malah berpotensi melemahkan sektor pembuatan Amerika.
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Senat, Senator Ted Cruz, memberi amaran bahawa Mercedes-Benz mungkin menjadi mangsa tidak langsung jika rang undang-undang itu diluluskan tanpa pindaan.
Beliau berkata, pihaknya tidak pernah berniat menghalang Mercedes-Benz daripada terus beroperasi di pasaran AS dan berpendapat beberapa peruntukan perlu diperhalusi.
Cruz turut mendakwa General Motors (GM) menyokong cadangan itu kerana ia boleh memberi kelebihan kepada jenama mewahnya, Cadillac. Namun, GM menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan syarikat itu hanya menyokong dasar yang mengukuhkan industri automotif Amerika serta memastikan persaingan yang adil di peringkat global.
Mercedes-Benz pula menegaskan syarikat itu menyokong usaha melindungi keselamatan negara AS, namun berharap sebarang undang-undang baharu tidak menjejaskan operasi syarikat, termasuk pekerja, rangkaian pengedar, pembekal dan pelanggan.
Rang undang-undang itu turut menyediakan mekanisme khas yang membolehkan pengeluar memohon kelulusan daripada Jabatan Perdagangan AS untuk menjual model tertentu walaupun berada dalam kategori yang dilarang.
Dalam perkembangan berkaitan, Moreno berkata GM merancang memindahkan pengeluaran model Buick Envision dari China ke AS menjelang tahun model 2028, manakala Ford turut bersetuju memindahkan pengeluaran model Lincoln yang kini dibuat di China ke negara itu.
Beliau turut memaklumkan syarikat teknologi pemanduan autonomi Waymo sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan platform kenderaan daripada pengeluar berpangkalan di Detroit berbanding menggunakan platform daripada Geely, China.
Sementara itu, Cruz turut mengkritik satu lagi peruntukan dalam rang undang-undang tersebut yang menurutnya boleh memaksa pengeluar menggunakan bateri lebih mahal, sekali gus meningkatkan kos kenderaan sehingga AS$5,000 (RM20,437) seunit.
Perkembangan ini menyusul selepas pentadbiran Presiden Donald Trump mengumumkan larangan terhadap Polestar daripada menjual kenderaan bersambung baharu di AS bermula tahun model 2027 kerana jenama itu dimiliki majoriti oleh Geely.
Sebaliknya, Volvo Cars yang juga mempunyai kaitan dengan Geely sebelum ini menerima kebenaran untuk terus memasarkan kenderaannya di Amerika Syarikat.
Rang undang-undang berkenaan masih perlu mendapat kelulusan penuh Senat dan Dewan Perwakilan sebelum ditandatangani Presiden AS untuk dikuatkuasakan sebagai undang-undang.
- BACA: LLM SASAR TAMBAH 18 TEMPAT TEDUHAN MOTOSIKAL DI LEBUH RAYA TAHUN INI
- BACA: SUZUKI BREZZA FACELIFT DILANCARKAN DI INDIA – ENJIN TURBO BAHARU, JANA 109HP, HARGA MULA RM31K
- BACA: MINI JCW 3-DOOR HIGH-PERFORMANCE SERIES UNTUK CHINA, INSPIRASI DUNIA PERMAINAN DAN WARISAN
- BACA: PERODUA EKSPORT TRAZ & ALZA KE SRI LANKA








