Buletin

DAIHATSU MALAYSIA CATAT JUALAN KUKUH, 1,190 UNIT GRAN MAX TERJUAL PADA 2022

Daihatsu Gran Max berjaya mencatat jualan sebanyak 1,190 unit pada tahun 2022. Ini membolehkan trak pikap kecil dan van panel bertransmisi manual dan automatik itu kekal menjadi pilihan nombor satu di Malaysia dalam segmen kenderaan di bawah 2.0L.

Meskipun industri auto global masih bergelut dengan gangguan rantaian bekalan serta kelembapan ekonomi, tetapi Daihatsu Malaysia masih mampu mencatatkan jualan keseluruhan yang kukuh.

Prestasi memberangsangkan Daihatsu Malaysia disumbang oleh pengenalan Gran Max Minor Change (MC) pada Jun 2022.

Kedua-dua trak pikap dan van panel Gran Max menerima kemas kini baharu seperti tingkap kuasa, sistem multimedia, kamera undur dan port USB dengan pengecasan pantas 12v-24v.

“Perlu ingat bahawa kemudahan dan praktikaliti adalah salah satu pertimbangan yang paling kuat untuk penggunaan kenderaan komersial.

“Daihatsu Malaysia mahu menawarkan pengalaman pemanduan terbaik dari segi keselesaan, kebolehpercayaan dan keselamatan. Justeru, kami percaya Gran Max (MC) menerima sambutan positif, sekali gus menyumbang kepada jualan 2022,” kata Pengarah Urusan Daihatsu (Malaysia) Sdn. Bhd, Arman Mahadi.

Daihatsu Malaysia juga melihat trend pertumbuhan yang stabil dalam operasi perkhidmatan pelanggan sejak lima tahun lalu, walaupun mengalami kelembapan dalam aktiviti perkhidmatan kerana pandemik yang melanda pada 2020.

Daihatsu Malaysia kini dalam perancangan untuk memulakan pelan transformasi perniagaan dengan mengembangkan rangkaian perniagaan. Antaranya termasuklah kawasan di utara, selatan dan timur Malaysia.

Google ads
Back to top button