Buletin

AMERIKA SYARIKAT SENARAIHITAMKAN BYD, NIO DAN CALB

Amerika Syarikat terus memperketat pengawasan terhadap syarikat teknologi dan automotif China apabila Jabatan Pertahanan negara itu menambah beberapa pengeluar kenderaan elektrik (EV), bateri dan teknologi ke dalam senarai syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan tentera China.

Antara nama besar yang dimasukkan ke dalam senarai “Chinese military companies” di bawah Seksyen 1260H ialah BYD, Nio dan pengeluar bateri CALB.

Turut tersenarai ialah Alibaba, Baidu, EVE Energy, pengeluar lidar Hesai dan RoboSense, syarikat bioteknologi WuXi AppTec, pengeluar penghala internet TP-Link serta syarikat robotik Unitree.

Langkah terbaru Pentagon itu diumumkan menerusi notis Federal Register yang dijadual diterbitkan minggu ini.

Bagaimanapun, penyenaraian tersebut tidak secara automatik mengenakan sekatan ekonomi atau larangan operasi di Amerika Syarikat, sebaliknya boleh menyukarkan urusan perniagaan dengan rakan niaga Amerika, termasuk akses kepada kontrak kerajaan dan rantaian bekalan berkaitan pertahanan.

Pentagon mendakwa BYD mempunyai hubungan secara langsung dan tidak langsung dengan Suruhanjaya Penyeliaan dan Pentadbiran Aset Milik Negara China (SASAC), selain dikaitkan dengan strategi “gabungan ketenteraan-awam” China melalui hubungannya dengan Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT).

Nio turut menerima dakwaan serupa apabila dikatakan mempunyai kaitan dengan SASAC dan MIIT.

Menariknya, kedua-dua syarikat itu mempunyai operasi di Amerika Syarikat.

BYD sebelum ini membina kilang bas elektrik di Lancaster, California, dengan operasi pengeluaran bermula sejak 2014 sebelum fasiliti itu diperluaskan kepada lebih 500,000 kaki persegi.

Nio pula masih mengekalkan pusat penyelidikan dan pembangunan di San Jose, California, selain rangkaian fasiliti lain di China, Eropah, Singapura dan Abu Dhabi.

Dalam sektor bateri EV, CALB turut menjadi perhatian kerana syarikat itu merupakan antara pembekal utama industri automotif China dengan pelanggan termasuk Xpeng, Leapmotor, GAC, Mazda, Changan dan Deepal.

CALB juga baru-baru ini memperkenalkan sel bateri semua pepejal berkapasiti 60Ah yang disasarkan untuk robot humanoid dan pesawat eVTOL, sebelum penggunaan automotif secara terhad dijangka bermula pada 2027.

Sementara itu, Unitree menjadi perhatian selepas Nvidia mengumumkan kerjasama menggunakan robot humanoid Unitree H2 Plus dalam platform penyelidikan robotik Isaac GR00T.

Selain sektor EV dan teknologi mobiliti, senarai terbaru itu turut melibatkan syarikat panel paparan BOE, pengeluar solar JA Solar dan Trina Solar, serta pengeluar cip memori CXMT dan YMTC.

Tencent dan CATL pula telah dimasukkan lebih awal ke dalam senarai sama pada Januari 2025.

WuXi AppTec bagaimanapun menolak dakwaan Pentagon dan menegaskan syarikat itu adalah entiti awam bebas yang tidak memenuhi syarat undang-undang untuk dimasukkan ke dalam senarai berkenaan.

Pemerhati melihat tindakan Washington kali ini menunjukkan skop pengawasan Amerika terhadap syarikat China semakin meluas, bukan lagi terhad kepada telekomunikasi dan pertahanan, tetapi kini melibatkan EV, bateri, kecerdasan buatan (AI), robotik, semikonduktor, tenaga solar dan bioteknologi.

Senarai Seksyen 1260H berbeza daripada sekatan perdagangan atau sekatan kewangan lain yang dikeluarkan Jabatan Perdagangan dan Perbendaharaan Amerika Syarikat, namun penyenaraian itu tetap meningkatkan risiko reputasi dan undang-undang kepada syarikat terbabit.

Google ads
Back to top button