
FORD SERTAI RALI DAKAR 2024 GUNA TRAK PIKAP RANGER
Ford Performance baru-baru ini mengumumkan penyertaan pasukan tersebut ke dalam acara Rali Dakar 2024 di Arab Saudi, dengan menggunakan Ford Ranger Rally Raid T1+.
Ini merupakan penyertaan rasmi pertama Ford di dalam sukan tersebut, setelah menceburkan diri dalam pelbagai disiplin sukan termasuklah NASCAR, WEC, WRC, SCORE, dan IMSA.
Menerusi kerjasama dengan Neil Woolridge Motorsport dan M-Sport, Ford akan menampilkan jentera Ranger Rally Raid T1+ yang telah muncul sebelum ini dengan membawakan binaan badan gentian karbon serta tetapan suspensi yang disemak semula.
Difahamkan, trak Ranger itu mampu menghasilkan kuasa 402 hp dan 600 Nm.
Sebelum melenjan trak tersebut pada platform Dakar, Ford akan menghantar Ranger tersebut untuk diuji dalam beberapa perlumbaan termasuklah Baja Espana Aragon (Julai) dan Rally du Maroc (Oktober).
Kesemua input yang diperoleh akan digunakan dalam membangunkan Ranger rali yang lebih berkeupayaan.
Rali Dakar 2024 dijangka akan berlangsung pada 5-19 Januari tahun depan. – Road & Track