Buletin

FORD RANGER TREMOR DAN WILDTRAK X UNTUK EROPAH, TAMPIL RUGGED, TREK LEBIH LEBAR!

Bukan satu tetapi dua buah varian baharu Ford Ranger diperkenalkan iaitu Ranger Tremor dan Wildtrak X untuk pelanggan di Eropah. 

Ranger Wildtrak X dibangunkan dari Ranger Wildtrak tetapi berbeza dari segi ketinggian yang dinaikkan sebanyak 26 mm dan lebar trek bertambah 30 mm.

Ciri itu menyerlahkan lagi imej rugged dan keupayaan di laluan off-road.

Wildtrak X dibekalkan enjin 2.0 liter EcoBlue yang menghasilkan 205 ps dan tork 500Nm dari 1,750 rpm.

Enjin diesel bi-turbo itu dipadan bersama transmisi automatik sepuluh kelajuan dan sistem pacuan empat roda sepenuh masa dengan mod set and forget secara standard.

Pikap ini sememangnya dibuat untuk beraksi dan dilengkapi teknologi off-road canggih seperti Trail Turn Assist. 

Sistem torque vectoring itu menggunakan brek bagi mengurangkan darjah putaran sehingga 25 peratus apabila diperlukan sewaktu melalui laluan yang sempit dan mencabar.

Sistem Trail Control pula beroperasi sama seperti kawalan jelajah dan boleh digunakan dari kelajuan bawah 32 kilometer sejam (km/j) untuk pikap ini mengawal pecutan dan pembrekan secara automatik.

Maknanya, pemandu boleh terus fokus pada stereng semasa meredah pelbagai permukaan bumi.

Suspensi standard Bilstein dengan redaman yang sensitif pada kedudukan memberi daya redaman bercukupan bagi meningkatkan lagi keupayaan off-road tanpa mengorbankan prestasi di jalan raya biasa.

Sistem stereng kuasa heavy duty dipertingkatkan dan komponen bawah dilindungi plat keluli untuk aksi pemanduan yang lebih meyakinkan di laluan mencabar.

Selain lebih tinggi dan trek lebar, bahagian luar Ranger Wildtrak X dilengkapi gril Asphalt Black, H-bar pada bampar, riasan pada arka roda dan bampar belakang.

Beberapa ciri khas seperti logo Wildtrak X, logo Ford dan rim aloi 17 warna hitam dengan tulisan all-terrain pada tayar melengkapkan penampilan off-road pikap ini.

Pembeli diberi pilihan untuk memesan lampu depan matrix LED dengan lampu tambahan pada gril. 

Pada bahagain dalam, penumpang dihidangkan kerusi dengan kemasan suede Miko dan sulaman Wildtrak.

Papan pemuka dibalut bahan sentuh lembut suede Terra dengan sulaman Cyber Orange yang juga boleh ditemui pada panel pintu dan konsol tengah.

Ford Ranger Tremor pula diubah suai dari Ranger XLT dan turut berkongsi naik taraf casis dan teknologi Wildtrak X.

Geometri suspensi baharu membantu pikap ini tampil lebih yakin ditambah dengan trek dan arka roda lebih lebar. 

Sport bar jenis panjang dijadikan ciri standard manakala pemijak sisi aluminium dan cangkuk berkembar depan tanpa penutup menonjolkan ciri praktikal dan lasak pikap ini. 

Bahagian luar dengan warna Boulder Grey dan gril yang digelapkan menyerlahkan imej misteri dan rugged Ranger Tremor.

Pada bahagian dalam, kerusi pikap ini kalis air dan lantai dialas vinil mudah bersih dan juga kalis air.

Selain itu, pembeli diberi pilihan suis enam input pada bumbung untuk winc, lampu LED dan pelbagai aksesori lain.

Gugusan suis yang yang siap dengan pendawaian memudahkan kerja penambahan aksesori dan paling utama tampil kemas.

Satu lagi aksesori untuk kedua-dua Wildtrak X dan Tremor ialah Flexible Rack System yang boleh dilaras dari depan ke belakang untuk barangan tambahan.

Sistem rak itu membolehkan lebih banyak barang dibawa dengan ruang kargo dan rak atas dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Pelanggan di Eropah sudah boleh menempah Ford Ranger Tremor dan Wildtrak X dengan penghantaran bermula pada Ogos 2023.

BACA: FORD PUMA ST POWERSHIFT – ADA DNA RALI NI!

BACA: FORD GT MK IV 2023, LEBIH 800HP, DARIPADA RM7.5 JUTA!

BACA: FORD F-100 ELUMINATOR, PIKAP KLASIK KUASA ELEKTRIK!

Google ads
Back to top button