Buletin

FORD RANGER RAPTOR 2022. 3.0L V6, 397HP, SISTEM AUDIO BANG & OLUFSEN, BERMULA RM260K

Sime Darby Auto Connexxion (SDAC) hari ini secara rasmi melancarkan trak pikap breprestasi tinggi Ford Ranger Raptor generasi terkini ke pasaran tempatan. 

Pelancaran yang dilakukan di litar khas di Litar Antarabangsa Sepang itu dibuat hanya selepas dua bulan Ford Ranger generasi baharu diperkenalkan. 

Ranger Raptor 2022 ditawarkan pada harga bermula RM259,888. Trak pikap tersebut dibangunkan oleh Ford Australia dan dipasang di Thailand untuk pasaran global. 

Raptor 2022 kini dikuasakan enjin 3.0L V6 yang mampu menjana 397hp dan tork 583Nm. Apa yang lebih menarik ialah enjin itu boleh menggunakan bahan api RON95.

Enjin yang dibangunkan khas untuk Ford Ranger Raptor itu sebenarnya turut digunakan pada model Ford Bronco Raptor. Harus tahu bahawa ia dari keluarga enjin yang sama dengan unit 3.5L yang digunakan oleh Ford F150.

Diperbuat daripada blok graphite iron, enjin berkenaan 75 peratus lebih kuat berbanding enjin cast iron yang biasa. 

Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik 10 kelajuan. Walaupun ia merupakan transmisi sama seperti model terdahulu, tetapi nisbah gearnya sudah ditala untuk disesuaikan dengan enjin V6 berkenaan.

Sebagai sebuah trak pikap berkuasa, Raptor 2022 didatangkan dengan tujuh mode pemanduan iaitu Normal, Sport, Slippery, Rock, Sands dan Mud/Ruts. Mode Baja kini dilengkapi fungsi anti-lag ala perlumbaan. 

Sistem itu berfungsi membiarkan turbin turbo berpusing sehingga tiga saat selepas pendikit ditekan. Hasilnya, pecutan akan menjadi lebih pantas untuk keluar dari selekoh atau ketika nisbah gear ditukar.

Sama seperti Raptor sebelum ini, Ranger Raptor terbaharu mengekalkan peredam hentak jenis Fox 2-5 inci yang ditala oleh Ford, lengkap bersama ciri Bottom-Out Control. Suspensi itu menggunakan bendalir Teflon bagi mengurangkan geseran  dan 50 peratus lebih lancar berbanding yang  lama. 

Transmisi 4X4 Electronic Shift On The Fly (ESOF) kini menggunakan transfer case 2-kelajuan dengan empat mod iaitu 2WD, 4WD Auto (seperti Triton Athlete), 4WD High dan 4WD Low. Differential Lock pula diberikan kepada gandar depan dan belakang.

Masuk ke dalam kabin, ruang itu tampil canggih dan modern menerusi skrin sentuh  TFT berukuran 12.4-inci dan paparan kluster meter 12-inci. Bukan setakat ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, trak pikap itu hadir dengan sistem sistem audio mewah Bang & Olufsen bersama lapan unit pembesar suara.

Anda boleh memilih daripada lima warna, termasuklah warna signatur Raptor Code Orange. 

Ranger Raptor baharu didatangkan dengan jaminan selama lima tahun atau 160,000km dan pelanggan boleh menambah pakej jaminan tambahan Premium Care.

GALERI

Google ads
Back to top button