Buletin

GAC LANCAR JENAMA KERETA BAHARU BERSAMA HUAWEI

Pengeluar automotif China, Guangzhou Automobile Group (GAC), mengumumkan penubuhan sebuah syarikat baharu bagi membangunkan jenama kenderaan premium dengan kerjasama gergasi teknologi, Huawei.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di platform WeChat pada Rabu, GAC memaklumkan bahawa syarikat itu telah melabur sebanyak AS$207.46 juta (RM1.08 bilion) bagi merealisasikan usaha sama ini.

Kerjasama antara GAC dan Huawei ini dijangka memberi impak besar kepada industri automotif China, dengan menggabungkan kepakaran GAC dalam pembuatan kenderaan serta teknologi canggih Huawei dalam bidang kecerdasan buatan (AI), sistem operasi pintar, dan teknologi komunikasi.

China kini semakin giat memperkukuh industri kenderaan tenaga baharu (NEV) dengan tumpuan kepada inovasi teknologi dan elektrifikasi.

GAC sebelum ini telah memperkenalkan beberapa model kenderaan elektrik dan hibrid di pasaran domestik dan antarabangsa, manakala Huawei pula telah meluaskan pengaruhnya dalam sektor automotif melalui pembangunan perisian serta perkakasan pintar.

Langkah GAC menubuhkan syarikat baharu bersama Huawei mencerminkan perubahan landskap automotif global yang semakin dipengaruhi oleh syarikat teknologi.

Tambahan, kejayaan kolaborasi ini bakal menentukan kedudukan China dalam persaingan kenderaan pintar di peringkat antarabangsa.

Perincian lanjut mengenai jenama baharu ini serta model pertama yang bakal diperkenalkan masih belum diumumkan, tetapi penganalisis industri menjangkakan lebih banyak maklumat akan didedahkan dalam masa terdekat.

Google ads
Back to top button