Buletin

JUALAN MERUDUM, MASERATI CARI TALIAN HAYAT DI CHINA

Berdepan prestasi jualan semakin merosot, jenama mewah Itali, Maserati, dilaporkan sedang merancang kerjasama strategik dengan dua syarikat dari China, Huawei dan JAC Motors, bagi membangunkan generasi baharu kenderaan elektrik yang berpotensi menjadi pemangkin kebangkitan semula jenama itu.

Menurut laporan media industri di China, ketiga-tiga pihak telah mencapai persetujuan untuk membangunkan dua model elektrik baharu secara bersama, terdiri daripada sebuah SUV elektrik bersaiz sederhana hingga besar serta sebuah model grand tourer (GT) elektrik.

Bagi pasaran China, model-model tersebut dijangka dipasarkan di bawah jenama Maextro, manakala untuk pasaran antarabangsa, ia akan menggunakan lencana Maserati.

SUV elektrik yang bakal diperkenalkan itu dikatakan akan menjadi alternatif kepada Maserati Grecale Folgore, sementara model GT pula akan melengkapkan barisan GranTurismo Folgore yang sedia ada.

Di bawah kerjasama tersebut, JAC Motors dilaporkan akan bertanggungjawab terhadap pembangunan kejuruteraan dan pengeluaran kenderaan di fasiliti pengeluarannya di China.

Huawei pula akan membekalkan teknologi menerusi platform Harmony Intelligent Mobility Alliance (HIMA), termasuk sistem bantuan pemanduan pintar Qiankun, teknologi trenkuasa elektrik serta sistem kokpit pintar.

Maserati pula dijangka menumpukan kepada aspek reka bentuk, identiti jenama dan pemasaran global bagi model-model berkenaan.

Walaupun cadangan pengeluaran Maserati di China mungkin menimbulkan reaksi berbeza dalam kalangan peminat setia jenama Itali itu, laporan berkenaan menyatakan sentuhan Itali masih akan dikekalkan.

JAC hanya akan menghasilkan struktur badan utama kenderaan sebelum komponen tersebut dihantar ke Itali untuk proses pemasangan akhir.

Model baharu itu dikatakan akan menyasarkan beberapa pasaran utama termasuk Timur Tengah, Itali, Perancis dan Jerman.

Kerjasama unik antara pengeluar Itali dan syarikat teknologi China itu dilihat mampu membantu Maserati yang kini berdepan cabaran besar dalam pasaran global.

Pada tahun kewangan 2025, Maserati dilaporkan hanya menjual sekitar 7,900 unit kenderaan, merosot ketara berbanding 11,300 unit yang dicatatkan pada tahun sebelumnya, sekali gus menjadi prestasi jualan terendah jenama itu sejak awal dekad 2010-an.

Google ads
Back to top button