
TOYOTA PERKENAL MODEL EV FLAGSHIP DENGAN TEKNOLOGI HUAWEI DAN XIAOMI
Pada acara Toyota Technology Day 2025 yang berlangsung di China, jenama automotif Jepun itu memperlihatkan komitmen serius terhadap elektrifikasi dan kecerdasan buatan, kali ini dengan sokongan dua nama besar teknologi tempatan: Huawei dan Xiaomi.
Antara pengumuman utama termasuk pelancaran model-model baharu Highlander dan Sienna versi tenaga elektrik jarak jauh, bersama perincian tentang dua platform baharu khusus untuk kenderaan tenaga baharu (new energy vehicles).
Toyota melalui kerjasama dengan rakan tempatan mereka, GAC Toyota, turut memperincikan hala tuju strategik masa depan mereka dalam arena EV, termasuk sistem pemacu, kabin pintar dan rangka elektronik baharu.
Model bakal menjadi bintang utama ialah Toyota bZ7, iaitu model elektrik penuh pertama syarikat yang akan menggunakan platform EV bersaiz besar tersebut. Dijangka memasuki pasaran China pada suku pertama 2026, bZ7 dilihat sebagai alternatif lebih mampu milik kepada Tesla Model S, sekiranya harganya bersaing.

Lebih menarik, bZ7 bakal menampilkan sistem kuasa Huawei DriveONE – satu integrasi motor elektrik, MCU dan inverter dalam satu unit. Dalam kabin, ia menggunakan sistem operasi Hongmeng (HarmonyOS) keluaran Huawei yang membolehkan sambungan pintar dan aplikasi interaktif dalam kereta.
Selain itu, sistem LiDAR turut dipasang, memberi petanda bahawa ciri pemanduan autonomi lanjutan sedang dirancang.
Platform EV baharu itu direka untuk menyokong pelbagai jenis pacuan – dari elektrik penuh hinggalah plug-in hybrid. Satu platform sesuai untuk model kompak dan sederhana (bawah 5 meter), manakala satu lagi untuk SUV atau MPV besar (hingga 5.3 meter panjang).
Tidak cukup dengan Huawei, Xiaomi juga akan menyumbang teknologi dalam kereta. Antara sistem yang sedang dibangunkan termasuk sistem audio pintar serta sistem komunikasi antara penumpang hadapan dan belakang melalui skrin dan kamera terbina.

GAC Toyota turut membangunkan digital chassis berasaskan AI yang mampu membaca keadaan jalan dan melaraskan ciri suspensi secara masa nyata, termasuk penyerap hentak elektromagnetik dan sistem suspensi udara dua ruang, seakan teknologi pada model premium Tesla.
Lebih jauh ke hadapan, mereka merancang untuk mengembangkan ekosistem AI ke seluruh rantaian operasi, dari penyelidikan dan pembangunan, ke proses pembuatan, pemeriksaan kualiti, dan logistik.
Malah, menjelang 2028, pembantu maya dalam kabin dijangka mampu ‘membaca hati pengguna’, bertindak balas secara intuitif dan menjadi ‘rakan simbiotik’ kepada pemandu.
Apa yang masih belum jelas, sejauh mana teknologi revolusioner ini akan dikembangkan ke luar China. Buat masa ini, semuanya tertumpu pada pasaran domestik yang semakin agresif dalam penerimaan teknologi automotif masa depan.
- BACA: PROJEK LEKIU: NAIK TARAF LEWAT 15 TAHUN, MASIH RELEVAN?
- BACA: XIAOMI SU7 ULTRA IALAH KERETA CHINA PERTAMA MUNCUL DALAM GRAN TURISMO – XIEXIE
- BACA: VOLKSWAGEN ID.2 MUNCUL BUAT PERTAMA KALI, EV PALING MAMPU MILIK
- BACA: KAJI TINDAKAN TUKAR PENGHADANG JALAN KEPADA POLIMER, KURANG RISIKO MAUT – PAKAR