Artikel Pilihan

TRANSMISI KLAC BERKEMBAR TIDAK SEMPURNA – ADA KELEMAHAN

Dalam 2 dekad yang lepas, transmisi DSG atau DCT (Dual Clutch Transmission) telah menjadi semkain popular selepas digunakan dengan meluas pada kebanyakan kenderaan yang dikeluarkan oleh Volkswagen. Ia menjadi trend dan diikuti oleh kebanyakan pengeluar kenderaan baik kereta biasa ataupun supercar

Hyundai, Kia, Mercedes, malah McLaren 720S serta Bugatti Veyron turut menggunakan transmisi ini pada trenkuasa yang menjana kuasa melebihi 1000 kuasa kuda. Namun kebanyakan pengeluar mula menggantikan sistem transmisi automatik biasa dengan DCT atas beberapa sebab yang mendesak

Antaranya ialah keperluan untuk mendapatkan kecekapan tenaga seterusnya merendahkan pelepasan gas karbon dioksida, pecutan yang lebih baik, penukaran gear yang pantas dan penggunaan bahan api yang baik. DCT bukanlah idea yang baru, kerana konsep ini diperkenalkan 80 tahun lepas oleh Adolphe Kegresse iaitu jurutera Peranchis

Penggunaan transmisi DCT atau terma DSG yang mula digunaan oleh Volkswagen Golf R32 menandakan transmisi ini mula diterami secara meluas diikuti oleh Nissan GT-R R35 dan Mitsubishi Evolution X. Namun jika anda selalu memandu kenderaan yang menggunakan DCT, anda boleh mengesan beberapa kekurangan pada sistem ini

DCT secara asasnya adalah kotak gear manual yang tidak memerlukan input pemandu untuk menukar gear dan menekan klac. Ia datang dengan 2 set klac (1 klac untuk gear ganjil 1 3 5) dan satu lagi klac untuk gear genap (2 4 6).

Dengan bantuan sistem elektronik dan hidraulik (mekatronik), gear akan ditukar secara automatik dengan lancar seperti gear automatik biasa yang menggunakan Torque Converter. Namun dengan sistem pelinciran minyak dan juga pelbagai komponen lain, DCT adalah transmisi yang kompleks

Jika ia rosak, ia memerlukan juruteknik terlatih yang sangat mahir untuk membaiki semua komponen dan melakukan servis pada sistem DCT, sekiranya ia perlu digantikan, maka kos penggantian DCT adalah jauh lebih mahal berbanding dengan transmisi automatik biasa

Di luar negara, kereta baru akan ditawarkan dalam varian manual 6 kelajuan yang biasa dan juga transmisi DCT. Berbanding dengan gear manual, harga kereta yang ditawarkan dalam transmisi DCT adalah jauh lebih mahal berbanding dengan transmisi manual dan harga ini perlu diserap oleh pengguna. Pengguna juga perlu mengambil kira kos servis berkala bagi memastikan transmisi ini beroperasi dengan efisyen

Tapi kelemahan terbesar sistem DCT ialah kelancaran dan kelembutan penukaran gear dilakukan dalam keadaan pemanduan yang normal atau ketika merayap (crawl) di dalam kesesakan jalan raya. Namun ia bukanlah bermakna DCT rosak, namun ia adalah fenomena biasa yang terjadi pada DCT

Pada halaju tinggi, TCU boleh mengesan dan menjangkakan gear yang perlu ditukar untuk prestasi pemanduan. Namun dalam keadaan stop & go, TCU sukar menjangkakan gear yang tepat disebabkan pemandu menekan minyak dan membrek dalam beberapa saat kemudian menyebabkan kereta rasa tersengguk-sengguk

Namun sebaik sahaja anda melepas kesesakan jalan dan mula memandu dengan agresif, DCT menawarkan kawalan gear dan penukaran gear yang lancar dan pantas. Jauh lebih baik berbanding automatik biasa, CVT mahupun gear manual.

Berdasarkan pengalaman penulis pula, gear DCT gagal menawarkan rasa “engine braking” yang kuat berbanding dengan gear manual, CVT mahupun gear automatik biasa. Engine braking dibuat dengan menurunkan 1 atau 2 gear sebelum selekoh, memaksa enjin berputar pada kelajuan tinggi dan memaksa enjin bertindak menjadi pam angin disebabkan pedal minyak tidak ditekan

Pada ketika ini, enjin menjadi beban kepada kereta dan menyebabkan kereta menjadi perlahan sedikit tanpa pemandu menekan pedal brek. Pada masa yang sama weight transfer akan berlaku dari roda belakang ke roda depan, menyebabkan cengkaman pada roda depan bertambah dan memudahkan kereta mengambil selekoh

Namun dengan transmisi DCT, penulis merasakan semua kesan di atas adalah minima menyebabkan penulis perlu menukar gear dan membrek pada masa yang sama. Namun secara asasnya DCT atau DSG adalah transmisi yang baik, cekap tenaga dan efisyen menyebabkan ia dipilih oleh kebanyakan pengeluar automotif

Google ads
Back to top button