
PANDU UJI: HYUNDAI SANTA FE 1.6L TURBO HYBRID MAX. SUV UNDERRATED, TAPI PERFORM
Percaya atau tidak, SUV ini sudah pun berada di pasaran Malaysia selama hampir dua dekad. Jadi, Hyundai Santa Fe bukanlah ‘budak’ baru dalam segmen SUV yang mempunyai saingan yang amat sengit.
Sudah memasuki generasi keempat, model facelift tersebut mula diperkenalkan ke pasaran tempatan pada September tahun lalu. Namun, ramai yang mungkin tidak sedar tentang kewujudannya walaupun ia hadir dengan pakej menarik.
Untuk pasaran Malaysia, Santa Fe yang merupakan model pemasangan tempatan (CKD) itu ditawarkan dalam tiga varian pada harga seperti berikut:
- 1.6L Turbo Plus – RM185,888
- 2.2L Turbo Diesel Max – RM199,888
- 1.6L Turbo Hybrid Max – RM205,888

Seminggu sebelum Ramadan bermula, saya sempat memandu uji varian paling tinggi iaitu 1.6L Turbo Hybrid Max untuk pulang ke kampung di Kuantan, Pahang. Sepanjang pemanduan hujung minggu itu, saya mula menyedari bahawa SUV tersebut sepatutnya lebih disedari keberadaannya oleh rakyat Malaysia.
Bagi sebuah SUV dengan tujuh tempat duduk, sebenarnya Santa Fe tidak mempunyai banyak pesaing secara langsung. Model yang datang dengan konfigurasi tempat duduk sebegitu cuma Mazda CX-8 dan Proton X90.
Melihat kepada bahagian luaran, Santa Fe mengekalkan rekaan berkotak yang nyata membuatkan SUV itu nampak rugged dan terus relevan untuk tempoh yang lama. Mata pastinya tertumpu kepada gril hadapan bersaiz besar, lampu nyalaan siang LED terpisah dan sepasang lampu utama LED yang diposisikan secara vertikal.

Bagi meningkatkan lagi imej sporty, bahagian bawah gril dan bampar dipasang dengan kemasan berwarna perak. Kemasan sama turut diteruskan pada bahagian sisi dan bawah bampar belakang. Dari arah sisi, tidak ada garisan badan yang terlalu sibuk, malah arca roda tidak didatangkan dengan kemasan plastik berwarna hitam sebagimana yang ada pada kebanyakan SUV lain.
Penampilan itu disempurnakan dengan roof rails, kemasan perak pada bingkai cermin dan rim alor lima jejari bersaiz 20 inci. Siluet berkotak itu diteruskan pada bahagian belakang dengan spoiler nipis, reflektor diposisikan semula, bar lampu LED yang merentangi dari kiri ke kanan serta sepasang lampu bersama efek geometri.
Dalam zaman di mana papan pemuka kenderaan dimonopoli oleh skrin bersaiz besar bersama gabungan material berbeza dan rekaan minimalistik, ruang kabin Santa Fe mungkin kelihatan sedikit outdated buat sesetengah orang. Pemandu dihidangkan dengan paparan kluster meter digital bersaiz 12.3 inci yang menawarkan segala maklumat pemanduan.

Papan pemuka dihuni oleh skrin infotainmen bersaiz lapan inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Walaupun skrin itu kelihatan kecil untuk standard hari ini dan tidak secanggih mana, tetapi urusan menyambungkannya dengan telefon pintar dapat dilakukan dengan mudah dan pantas.
Saya suka bahagian konsol tengah yang masih hadir dengan butang untuk kawalan pendingin hawa. Di bahagian bawahnya pula terletak tombol untuk menukar mode pemanduan sama ada Eco, Sport, Comfort dan Smart. Ketiadaan tombol gear membuatkan ruang yang dibalut dengan kemasan seperti gentian karbon itu nampak lebih kemas dan bersih.
Untuk masuk ke gear P, N, D atau R, anda hanya perlu menekan butang bersaiz besar, terima kasih kepada sistem shift-by-wire yang mudah digunakan dan sudah ada dalam banyak kenderaan Hyundai sebelum ini. Selain itu, terdapat juga butang untuk fungsi Hill Descent Assis, Auto Hold, sensor parking dan paparan kamera 360 darjah. Selain butang untuk mengawal ventilasi tempat duduk hadapan.
Sebagai sebuah SUV tujuh tempat duduk sebenar dan bukannya jenis 5+2, Santa Fe Hybrid menawarkan ruang yang selesa untuk semua penumpang.

Untuk masuk ke tempat duduk baris ketiga, kerusi baris kedua perlu dianjak ke hadapan dan penyandar ditolak ke bawah. Keselesaan penumpang di baris terakhir boleh ditingkatkan apabila kerusi baris kedua boleh ditolak sedikit ke hadapan. Ruang tersebut juga dilengkapi corong pendingin udara yang boleh dilaras sendiri oleh penumpang.
Jika tempat duduk baris ketiga tidak diperlukan, baringkan sahaja bagi mendapatkan ruang kargo yang cukup luas untuk apa sahaja keperluan balik kampung atau riadah anda.
Santa Fe Hybrid dikuasakan oleh enjin 1.6 liter petrol Gamma II T-GDI yang mampu menjana 180PS dan tork 265Nm. Enjin itu kemudian dipadankan bersama motor elektrik berkapasiti 44.2KW yang membolehkan kuasa keseluruhan mencecah 230PS dan tork 350. Kuasa tersebut disalurkan ke roda menerusi kotak gear enam kelajuan automatik.
Dengan kuasa setinggi itu, memandu Santa Fe Hybrid terasa cukup responsif walaupun diisi dengan tujuh orang penumpang dewasa. Inilah yang membuatkan pengalaman memandu jentera tersebut sama ada di bandar mahupun di lebuh raya begitu mengujakan. Lebih memuaskan hati ialah tahap penggunaan bahan api yang boleh mencecah sehingga 1,000km dengan satu tangki penuh.

Itu angka yang dinyatakan oleh Hyundai. Pengalaman saya memandunya selama beberapa hari berjaya mencatat hampir 900km, itu pun kerana kerap memecut terutama di lebuh raya LPT.
Satu perkara yang saya perasan ketika memandu SUV itu ialah semua penumpang tiba-tiba sahaja menjadi disiplin untuk memakai tali pinggang keledar. Sebabnya, sebaik sahaja bergerak bunyi amaran akan terus berbunyi jika ada yang tidak memakai tali pinggang keledar. Ya, ini bukanlah ciri baharu, tetapi secara peribadinya saya cukup hargai.
Masih berkaitan dengan keselamatan, saya bagaimanapun kurang gemar dengan intervensi yang dilakukan oleh sistem Lane Keeping Assist. Termasuk dalam rangkaian ciri keselamatan Hyundai Smartsene, tenaga ia menarik stereng supaya kenderaan sentiasa berada di tengah-tengah laluan terasa agak ketara.

Namun, kekurangan itu ditimbal balik dengan ciri Adaptive Cruise Control yang dapat berfungsi begitu baik ketika mengharung kesesakan jalan raya. Pecutan dan breknya terasa natural, membuatkan pemanduan lebih selesa dan kurang memenatkan.
Urusan memarkir atau melalui ruang sempit pula menjadi lebih mudah dengan adanya ciri kamera 360 dajah biarpun kualiti paparan visualnya masih boleh ditingkatkan lagi.
Dengan harga petrol yang dijangka naik menjelang pertengahan tahun ini, sebuah jentera yang sangat jimat, luas, selamat dan berkuasa seperti Santa Fe Hybrid boleh menjadi pilihan bijak.
- BACA: HYUNDAI SANTA FE TIBA DI PASARAN INDONESIA – TAWAR DUA VARIAN, HARGA BELUM ADA
- BACA: HYUNDAI SANTA FE FACELIFT 2024 DILANCARKAN: HARGA BERMULA RM185K – RM205K
- BACA: PANDU UJI HYUNDAI SANTA FE 2019
- BACA: HYUNDAI CASPER ELECTRIC CROSS 2025 TAMPIL ELEMEN LASAK – HARGA SEKITAR RM115K
GALERI










