
GAC PERKUKUH KEHADIRAN DI MALAYSIA MELALUI JELAJAH PRA-MUSIM CHELSEA FC 2026
GAC sekali lagi mencuri perhatian peminat automotif dan sukan apabila tampil sebagai rakan rasmi Jelajah Pra-Musim Asia Chelsea FC 2026 di Malaysia.
Kehadiran jenama automotif dari China itu menyerlah sepanjang perlawanan persahabatan yang menemukan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea FC, dengan juara Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT), di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru.
Perlawanan yang disaksikan lebih 28,000 penyokong itu berlangsung penuh dramatik apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sebelum terikat 3-3.
Aksi menghiburkan tersebut bukan sahaja menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan, malah turut memberi peluang kepada GAC mendekati pengguna dan memperkenalkan teknologi serta model terkini mereka kepada khalayak lebih luas.

Sebagai Rakan Kenderaan Rasmi bagi siri jelajah pra-musim Chelsea FC di Malaysia, GAC memanfaatkan platform sukan bertaraf antarabangsa itu untuk memperkukuhkan pengaruh jenamanya di rantau Asia Tenggara.
Turut mencuri tumpuan pada hari perlawanan ialah kehadiran legenda Chelsea FC, Roberto Di Matteo, yang berkunjung ke ruang pameran GAC.
Beliau berpeluang melihat dan merasai sendiri beberapa model yang dipamerkan termasuk GAC EMKOO, selain memberikan maklum balas positif terhadap kualiti produk serta pengalaman pemanduan yang ditawarkan.
Kerjasama antara Chelsea FC dan GAC dilihat sebagai langkah strategik yang menghubungkan dua jenama dengan aspirasi global.

Chelsea FC terus memperkukuh hubungannya dengan peminat di Asia, manakala GAC pula giat memperluaskan operasi antarabangsa serta memperkukuh rangkaian perniagaannya di pasaran luar negara.
Malaysia kini memainkan peranan penting dalam strategi pertumbuhan GAC di Asia Tenggara. Syarikat itu telah memulakan pemasangan tempatan (CKD) bagi model GS3 EMZOOM dan EMKOO, sekali gus membuktikan komitmennya terhadap pembangunan industri automotif tempatan.
Kedua-dua model berkenaan turut menerima maklum balas positif daripada media tempatan hasil gabungan reka bentuk moden, prestasi bertenaga dan teknologi pintar yang ditawarkan.
Dengan berakhirnya siri jelajah Chelsea FC di Hong Kong dan Malaysia, GAC menyifatkan penyertaannya sebagai satu kejayaan besar dalam usaha mendekatkan jenama itu kepada pengguna serantau.
Pada masa sama, syarikat berkenaan menegaskan komitmennya untuk terus menawarkan produk berkualiti tinggi serta teknologi terkini demi memenuhi keperluan pengguna di Malaysia dan pasaran global.







