Buletin

GENESIS G70 SHOOTING BRAKE. WAGON CANTIK UNTUK PASARAN EROPAH

Walaupun pengguna di seluruh dunia kini lebih sukakan SUV atau crossover, pemandu di Eropah masih gemarkan model wagon. Malah, jualan wagon di benua tersebut adalah lebih tinggi berbanding sedan. 

Genesis ingin mengukuhkan kedudukannya di Eropah, maka strategi terbaharu adalah untuk memperkenalkan model wagon pertamanya yang dibina berasaskan kepada sedan mewah G70.

Dikenali sebagai Genesis G70 Shooting Brake, jentera itu menjadi model kelima yang bakal diperkenalkan di Eropah selepas sedan G70, G80, selain SUV GV70 dan GV80. 

Bersaing secara langsung dengan Audi A4 Avant, BMW 3-Series Touring dan Mercedes-Benz C-Class Estate, G70 Shooting Brake memiliki dimensi sama dengan model sedannya. Ia sepanjang 4,685mm, 1,850mm lebar, 1,400mm tinggi dengan tapak roda sepanjang 2,835mm. 

Bahagian belakang yang telah direka semula dan bumbung lebih panjang menawarkan ruang but yang luas. Pengeluar kereta mewah Korea itu mendakwa ruang tersebut adalah 40 epratus lebih luas berbanding model sedan. Pemandu juga boleh membawa barangan besar kerana tempat duduk belakang boleh dilipat dengan konfigurasi 40:20:40. 

Wajah G70 Shooting Brake diserlahkan menerusi rekaan sama seperti G70 Sedan dengan gayaan lampu utama dan lampu belakang nipis LED terpisah. Ciri sporty wagon itu dapat dilihat dengan jelas melalui peresap udara dan spoiler bumbung bersama lampu brek ketiga. 

Ruang kabin tidak menerima perubahan ketara berbanding model sedan. Papan pemuka dihuni oleh skrin sentuh jenis terapung untuk sistem infohibur dan dial pendingin hawa. Ia juga dilengkapi stereng dengan butang kawalan audio, selain rekaan tuil gear menarik pada konsol tengah. 

Genesis masih belum memperincikan spesifikasi, varian dan enjin G70 Shooting Brake. Namun, ia dijangka mengikut apa yang ditawarkan oleh model sedan dengan pilihan enjin 2.0 liter turbo-four berkuasa 249h dan enjin 3.3 liter V6 turbo berkembar beruasa 365hp. Manakala enjin diesel pula mampu menjana kuasa sekitar 199hp. 

GALERI

Google ads
Back to top button