
GENESIS GV60 MAGMA CONCEPT, LANGKAH GENESIS KE DALAM DUNIA PRESTASI TINGGI
Jika Mercedes-Benz mempunyai AMG dan BMW dengan M, Genesis pula melangkah ke dalam dunia berprestasi tinggi bersama Genesis Magma Program.
Genesis memperkenalkan GV60 Magma Concept dan satu daripada empat model di bawah Genesis Magma Program.
Genesis sebelum ini memperkenalkan GV80 Coupe Concept, G80 Magma Special dan X Gran Berlinetta Concept.
Genesis menyasarkan untuk membangunkan model berprestasi Magma bagi setiap model produksi sedia ada dengan memaksimumkan penampilan dan prestasi.

Bukan sekadar konsep, GV60 Magma Concept bakal menjadi kenyataan selain beberapa lagi model di bawah Genesis Magma Program.
Genesis tidak berkongsi butiran terperinci kecuali peningkatan pada teknologi bateri dan motor elektrik.
Bahagian luar tampil menyerlah dan menggabungkan ciri-ciri estetik yang turut mengambil kira casis, aerodinamik dan termodinamik.
Pada bahagian depan, saluran udara utama lebih lebar dan rendah bagi menyejukkan bateri, motor dan brek secara berkesan manakala bidai udara mempertingkatkan kecekapan aerodinamik.

Tiga liang pada tengah bampar diilhamkan dari GV80 Coupe Concept dan G80 Magma Special dan berfungsi untuk penyejukan tambahan. Sirip pada sisi bampar menjana daya mendap pada gandar depan.
Berbanding model biasa, GV60 Magma Concept lebih lebar dan rendah bagi meningkatkan kestabilan ketika asyik memandu.
Dapra yang dibesarkan dan liang pengaliran udara mengurangkan tenaga kinetik dan menambah baik penyejukan untuk brek.
Rim flow form 21 inci warna titanium turut memainkan peranan dalam penyejukan brek.

Sirip di atas bumbung ditempatkan secara strategik bagi mengawal aliran aerodinamik dan menyalurkannya kepada sayap belakang dan menjana daya mendap belakang.
Bahagian dalam membawa konsep mewah dan sporti. Kerusi bucket meriah dengan bahagian belakang sama warna badan dan dibalut kulit Nappa dan suede berserta corak berlian.
Hyundai Motor Group sudah biasa dengan dunia prestasi dan ditunjukkan melalui beberapa model termasuk IONIQ 5 N yang berkuasa 478 kilowatt (kW) (650 ps).
GV60 sendiri mempunyai kuasa tinggi dengan varian AWD Performance menghasilkan 320 kW (435 ps).









