Buletin

GENESIS GV80 COUPE CONCEPT, SUV SPORTI, 4 KERUSI BUCKET!

Genesis adalah jenama mewah di dalam Hyundai Motor Group. Produk Genesis hadir membawa gaya sendiri dan tidak kalah dengan jenama mewah dari Jerman.

Jika tiga jenama Jerman mempunyai model beprestasi, Genesis pun begitu dan dipertontonkan melalui GV80 Coupe Concept. Tidak sekadar konsep, Genesis akan dijual kepada umum.

Model itu dikatakan bakal menyaingi BMW X6 dan Mercedes-Benz GLE Coupe.

Genesis tidak memperincikan enjin yang digunakan dan berkemungkinan dibekalkan enjin 3.5 liter V6 turbo berkembar dengan pacuan roda belakang.

GV80 di pasaran dengan enjin itu menghasilkan 375 kuasa kuda (hp). Sebagai sebuah SUV sporti, menarik untuk diketahui apa yang bakal dinaik taraf termasuk tetapan pengendalian.

Dari segi rekaan, model konsep ini menyerlah dengan warna Magma yang terang benderang.

Bahagian depan tampil garang dengan Double G-Matrix Patterned Crest Grille dalam warna hitam dan empat unit lampu yang disusun melintang.

Penyejukan dioptimumkan melalui empat slot pada bampar dan mengurangkan aliran haba bayangan (shadowed thermal flow).

Bentuk GV80 memang sudah sedia sporti dengan bonet enjin yang panjang dan bumbung yang curam ke belakang sebagai sebuah coupé. 

Turut menyerlah rim tempa aluminium lima rongga dengan rekaan terbuka dan praktikal untuk dijaga. Selain itu, model konsep ini menggunakan bumbung gentian karbon dan semestinya lebih ringan.

Menangani faktor aerodinamik ialah spoiler bumbung dan spoiler but dengan lips yang menyerlahkan lagi ciri ducktail dan mengingatkan kepada Kia EV6. 

Lampu belakang dua baris dan melintang meneruskan gaya lampu depan dan padanan menarik untuk sebuah SUV dengan bentuk melengkung.

Pada bahagian dalam, Genesis meneruskan tema warna oren dan hanya empat kerusi bucket disediakan. Komponen kereta dibalut kulit Nappa warna hitam dan suede dengan sulaman oren.

Satu lagi yang jelas kelihatan ialah pendakap G-Matrix yang mengikat badan kereta di belakang kerusi penumpang!

Dengan rekaan yang sporti dan anggun sebegini, Genesis tidak memaklumkan bila GV Coupe akan menemui pasaran.

BACA: GENESIS GV60 2023,PERKENAL CIRI PENGECAMAN MUKA UNTUK BUKA PINTU DAN HIDUPKAN ENJIN

BACA: GENESIS G70 SHOOTING BRAKE. WAGON CANTIK UNTUK PASARAN EROPAH

Google ads
Back to top button