Buletin

ISUZU D-MAX BEV DILANCAR PADA 2025, 130 KW, 325NM!

Di Amerika Syarikat dan China sudah ada pikap yang dikuasakan elektrik. Pengeluar Jepun pula mempunyai pikap hibrid seperti Toyota Tundra dan Hilux mild-hybrid (V-Active 48V).

Tahun 2025 bakal menyaksikan Isuzu D-MAX BEV dilancar dan kenderaan bateri elektrik (BEV) pertama dari syarikat.

Mungkin bukan yang pertama kerana Isuzu sudah pun mempekenalkan lori Elf mio EV di Jepun.

Bentuk asas tidak banyak berbeza daripada D-MAX di pasaran kecuali bampar dan jeriji depan serta riasan warna biru termasuk di dalam lampu.

D-MAX BEV menggunakan sistem pacuan empat roda (4WD) sepenuh masa yang bermakna terdapat dua motor elektrik (e-Axle) pada gandar depan dan belakang.

Menurut Isuzu, e-Axle itu dibangunkan baharu dan menawarkan prestasi cemerlang di laluan mencabar dan pecutan linear seperti sebuah BEV.

Keupayaan tunda D-MAX BEV dijamin oleh gabungan motor elektrik berkuasa, rangka dan reka bentuk badan dan mampu beraksi setara model diesel sedia ada.

D-MAX BEV boleh membawa muatan sehingga 1,000 kilogram (kg) dan berkeupayaan untuk menunda sehingga 3.5 tan.

Bateri litium-ion mempunyai kapasiti 66.9 kilowatt-jam (kWj) dan menarik untuk diketahui bagaimana bateri ditempatkan.

Motor elektrik berkuasa 130 kW (174 hp) dengan 40 kW di depan dan 90 kW di belakang. Daya kilas keseluruhan 325Nm dengan 108Nm di depan dan 217Nm di belakang.

Kelajuan tertinggi melebihi 130 kilometer sejam (km/j) dan Isuzu tidak memaklumkan jarak pemanduan serta kuasa pengecasan bateri.

D-MAX BEV terlebih dahulu dijadual untuk dilancarkan di pasaran terpilih Eropah seperti Norway pada 2025.

Pikap ini bakal menyusul ke United Kingdom, Australia, Thailand dan beberapa negara lain mengikut keperluan pasaran dan kemudahan pengecasan.

Google ads
Back to top button