" "
Buletin

GWM TANK 300 RASMI DILANCARKAN – JANA 220PS, HARGA RM250K

Great Wall Motor (GWM) Malaysia secara rasmi melancarkan GWM TANK 300 di Malaysia, SUV ‘off-road’ mewah dan pintar ini diimport sepenuhnya (CBU) dari China.

GWM TANK 300 tampil dengan lampu utama berbentuk bulat, gril yang besar dan dari luaran, ia memberikan penggayaan agresif namun tidak berlebihan.

Perincian lain termasuklah dipadankan bersama rim aloi krom 18-inci, pintu belakang berengsel sisi, ruang muatan luas serta dilengkapi dengan roda ganti bersaiz penuh, sekaligus meningkatkan praktikaliti.

GWM TANK 300 didatangkan dalam empat pilihan warna iaitu:

  • Dusk Orange
  • Fossil Grey
  • Crystal Black
  • Pearl White

Di bahagian dalam, ia dilengkapi dual-screen bersaiz 12.3-inci dengan ketersambungan Android Auto/Apple CarPlay, sunroof, sementara tempat duduk pula dibalut kulit Nappa, direka agar lebih ergonomik serta mempunyai fungsi pengudaraan dan mengurut.

Selain itu, konsol tengah moden mempunyai penukar gear dengan rekaan berinspirasikan penerbangan dan port pengecasan tanpa wayar.

Bukan itu sahaja, kelengkapan lain turut disertakan adalah seperti pencahayaan ambien  64 warna dan ‘vent’ penyaman udara belakang, soket kuasa USB, serta perehat tangan tengah yang boleh dilipat dengan pemegang cawan.

Bagi tempat duduk penumpang belakang, ia didatangkan dengan dua tahap pelarasan dan tempat duduk belakang boleh dilipat dengan nisbah 60:40 untuk memuatkan barangan yang besar.

Dari segi kuasa, GWM TANK 300 dilengkapi dengan enjin petrol turbo 4-silinder 2.0L, menghasilkan 220PS dan 380Nm.

Nadi berkenaan dipadankan dengan transmisi automatik 8-kelajuan selain, dilengkapi dengan ‘Ladder Frame Construction’ dan ‘Professional Off-road Chassis’ serta kunci pembezaan gandar elektronik hadapan dan belakang untuk menakluki segala jenis permukaan.

GWM TANK 300 menyediakan 9 Mod Pemanduan, merangkumi pilihan mod ‘Standard’ (2H), ‘Standard’ (4H), Mod Salji (4H), Mod 4L (Normal, Lumpur/Pasir, Lubang, Gunung, Batu) dan Mod Pakar (Expert).

Ciri keselamatan turut dilengkapi dengan ciri moden seperti Adaptive cruise control (ACC), Lane departure warning system (LDW), Lane keeping assist (LKA), Secondary collision mitigation (SCM), serta Traffic jam assist system (TJA).

Selain itu, GWM TANK 300 turut dilengkapi dengani ciri-ciri pembukaan kunci dan pemotongan bahan api secara automatik selepas berlakunya insiden perlanggaran.

SUV ‘off-road’ ini dibina dengan rangka kereta berkekuatan ultra-tinggi 1500 MPa dan enam beg udara sisi dan hadapan yang berintegrasi bagi memastikan perlindungan optimum serta mengurangkan risiko kecederaan sekiranya berlaku kemalangan.

Untuk harga pula, GWM TANK 300 boleh dimiliki pada harga bermula RM250,000 dan GWM menawarkan pakej hebat kepada 300 pemilik pertama, antaranya:

  • Penyelenggaraan percuma selama 5 tahun/100,000km, termasuk kos buruh dan alat ganti, untuk setiap 10,000 KM atau setiap 6 bulan, mengikut mana yang terdahulu.
  • Waranti seumur hidup untuk enjin dan transmisi tanpa had perbatuan (eksklusif untuk pemilik pertama).
  • Kit Pengembaraan GWM x Thule, mengandungi baucar Thule bernilai RM8,000 dan beg sandang Paramount Thule bernilai RM999.
  • Siri Pengembaraan dengan GWM TANK – Stesen 1: ChongQing dan ChengDu, China.  Sempena pelancaran GWM TANK 300, para pelanggan yang telah melengkapkan pendaftaran kenderaan selewat-lewatnya pada 12 Ogos 2024 berpeluang memenangi sebuah percutian pengembaraan ke ChongQing dan ChengDu, China. Sepuluh pemenang akan dipilih melalui cabutan bertuah.

Di samping itu, GWM TANK 300 juga hadir dengan waranti kenderaan tanpa had perbatuan selama 6 tahun.

GWM akan mengadakan sesi pandu uji ‘off-road’ GWM TANK 300 pada 20 dan 21 Julai 2024 di M4TREC, 4WD Training & Experience Centre di Semenyih.

Untuk menempah slot sesi pandu uji ‘off-road’, sila RSVP di: https://forms.gle/Xi7ZuvMPo9jDJwEW9

Google ads
Back to top button