
HENNESSEY VELOCIRAPTOR 6X6 GENERASI KETIGA DILANCARKAN
Anda mahukan sebuah trak pikap, tapi tidak mahu disamakan dengan trak pikap tipikal di jalanan?
Hennessey Performance sejak bertahun-tahun menghasilkan model trak pikap 6×6, dan yang terbaharu, mereka melancarkan VelociRaptor 6×6 generasi ketiga berdasarkan Ford F-150 Raptor yang terkini.
Trak jahat ini masih lagi menggunakan nadi V6 3.5 liter turbo berkembar yang sama seperti Hennessey VelociRaptor biasa, akan tetapi kuasa telah direndahkan kepada 558 hp namun angka daya kilas dinaikkan kepada 911 Nm untuk tenaga yang mencukupi bagi menggerakkan gandar tambahan di belakang.

Sistem suspensi asal Raptor jenama Fox dan gandar belakang dual-locking turut dinaiktaraf oleh Hennessey, di mana ia mampu meningkatkan kadar cengkaman sebanyak 50 peratus.
Disebabkan penambahan gandar ketiga, rekaan bed juga telah dipanjangkan kepada 2.4 meter (panjang asal 1.67 meter).
Dengan rim bersaiz 20 inci serta tayar off-road 37 inci, sistem gantungan VelociRaptor 6×6 ini turut ditinggikan menggunakan kit lift 3 inci.
Harga jualan untuk sebuah VelociRaptor 6×6 bermula dari $399,950 (RM1.81 juta) termasuk kos untuk mendapatkan model penderma Ford F-150 Raptor, serta dilindungi jaminan menyeluruh tiga tahun atau jarak perbatuan 36000 batu (57,936 km).







