Buletin

HENNESSEY VENOM F5 REVOLUTION COUPE, 24 UNIT, HARGA MULA RM11.8 JUTA!

Selain kereta, kenderaan utiliti sukan (SUV) dan pikap dengan ubah suai ekstrem, Hennessey juga mengeluarkan kereta hiper Venom G.T dan Venom F5.

Kereta hiper Venom F5 hanya dikeluarkan sebanyak 24 unit sahaja dan kesemuanya telah habis dijual pada 2021. 

Hennessey kemudiannya menawarkan Venom F5 Roadster pada 2022 dan kedua-dua model itu digerakkan enjin 6.6 liter V8 turbo berkembar yang menghasilkan 1,817 kuasa (kuda) dan tork 1,617Nm.

Tidak berhenti di situ dan sebagai pembuka tirai 2023, Vennessey memperkenalkan Venom F5 Revolution Coupe dengan berat yang lebih ringan dan berorientasikan litar.

Venom F5 Revolution Coupe dibina dari Venom F5 Coupe dan sebagai model istimewa dibezakan pada bahagian aerodinamik, suspensi, penyejukan enjin dan telemetri digital.

Hasil pengurangan berat menyumbang kepada 1,360 kilogram (kg) berat kering dan menjadikannya sebagai Venom F5 paling ringan.

Venom F5 Revolution disempurnakan oleh Ketua Jurutera John ‘Heinrocket’ Heinricy yang memanfaatkan pengalaman selama 38 tahun di dalam pembangunan kereta berprestasi bersama GM.

Selain itu, pengalaman Heinricy di dalam perlumbaan turut membantu dan beliau seorang pemegang tiga rekod kelajuan FIA dan sudah menghabiskan lebih 1,000 pusingan di Nürburgring.

Di antara kerja-kerja kejuruteraan yang pernah beliau ketuai ialah Corvette Z06 and Cadillac CTS-V.

Enjin Fury 6.6 liter V8 pada Venom F5 Revolution turut menghasilkan 1,817 hp dan tork 1,617Nm.

Hasil berat yang lebih ringan menyumbang kepada daya pecutan yang tinggi.

Kuasa enjin dihantar ke roda belakang melalui kotak gear separa automatik klac tunggal dengan kalibrasi khas untuk kegunaan perlumbaan.

Dari segi aerodinamik, paling menyerlah pada model ini ialah sayap belakang lebar yang diperbuat daripada gentian karbon.

Sayap itu boleh dilaras dan pada bahagian hujung dipasang plat yang dapat menghentikan tekanan udara tinggi pada bahagian atas daripada ‘terjatuh’ ke bahagian bawah.

Faedahnya ialah daya mendap ditingkatkan tanpa menambah kelebaran sayap dan turut menjana vorteks yang membantu dalam mengalirkan udara serta mempertingkatkan aerodinamik dan kestabilan.

Berdasarkan angka, sayap belakang menghasilkan lebih daripada 362 kg daya mendap pada kelajuan 300 kilometer jam (km/j) dan lebih 635 kg daya mendap pada kelajuan 400 km/j.

Pada bahagian depan dipasang pemisah besar juga daripada gentian karbon dan sepadan dengan sayap dan juga peresap belakang.

Pemisah depan itu berfungsi dengan menghalang udara daripada melalui bawah kereta dan menghasilkan vorteks tekanan rendah di bawah kereta dan membantu dari segi daya mendap.

Pada masa yang sama, peresap belakang menghalakan udara keluar dari bawah kereta. 

Sirip pada sisi bampar depan pula berfungsi dengan mengalirkan udara secara agresif dan membantu menambah cengkaman sewaktu mula memasuki selekoh (turn in).

Pada bumbung dipasang skup udara baharu untuk menghantar udara sejuk kepada ruang enjin dan membantu bagi mengurangkan suhu.

Bahagian pengendalian dengan suspensi wishbone berkembar mempunyai tetapan penjajaran yang lebih agresif dan pemilik diberikan kit yang boleh melaras suspensi secara mudah.

Pelarasan boleh dibuat di tepi litar sebelum beraksi dan dilaras kembali apabila pemilik mahu pulang ke rumah.

Satu lagi perbezaan utama ialah roda aloi tempa (forged) baharu dengan bahagian sentuhan (contact patch) lebih lebar untuk lebih cengkaman di selekoh dan sewaktu membrek.

Akhir sekali, pemilik Venom F5 Revolution ditawarkan sistem telemetri litar digital dengan pelbagai maklumat dan cerapan seperti masa pusingan, daya G selekoh dan sebagainya.

Sebelum dipertontonkan secara rasmi pada 15 Januari, sejumlah Venom F5 Revolution telah pun terjual daripada 24 unit keseluruhan.

Harga Venom F5 Revolution bermula daripada AS$2.7 juta (RM11.8 juta).

BACA: HENNESSEY VELOCIRAPTOR 500 BRONCO, 3.0L V6 TURBO 500HP, 746NM!

BACA: HENNESSEY VELOCIRAPTOR 6X6 GENERASI KETIGA DILANCARKAN

BACA: HENNESSEY VELOCIRAPTOR KALIS AK-47, BAHAN LETUPAN

Google ads
Back to top button