FERRARI AKHIRNYA BIKIN CROSSOVER PUROSANGUE, NADI V12 725 PS
Setelah sekian lama dikenali sebagai pengeluar supercar, Ferrari akhirnya mengikut jejak langkah Rolls-Royce, Aston Martin dan Lamborghini dengan menawarkan sebuah produk serba baharu – dalam bentuk crossover.
Dinamakan sebagai Ferrari Purosangue, Ferrari sendiri tidak mengiktiraf model baharu ini sebagai sebuah SUV.
Ini kerana selain daripada kehadiran pintu tambahan di bahagian belakang, dimensi badan Purosangue ini agak rendah, sekitar 1,589 mm sahaja.
Sudah pasti, ia tidak menawarkan ruang kepala yang cukup besar berbanding pesaingnya, namun ia membenarkan rekaan yang lebih bergaya serta titik graviti yang lebih rendah – menyumbang kepada pengendalian yang lebih baik.
Ferrari Purosangue menggunakan casis aluminium dengan elemen rekaan yang banyak diinspirasikan daripada Ferrari Roma, diikuti dengan rekaan pintu jenis suicide door, serta kehadiran trim cladding plastik pada arka roda.
Secara standard, Ferrari Purosangue dipasangkan dengan rim bersaiz 22 inci di depan, serta 23 inci di bahagian belakang.
Membezakan Purosangue dengan pesaing lain, sudah pasti pada penawaran enjinnya.
Untuk permulaan, Ferrari menawarkan enjin 6.5 liter bentangan V12 aspirasi natural dengan kuasa 725 PS dan daya kilas 716 Nm yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan dan sistem AWD.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.3 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 310 km/j.
Difahamkan, Purosangue juga bakal dilengkapi dengan pilihan enjin V6, V8 serta tidak ketinggalan trenkuasa hibrid.
Menariknya, susun atur papan pemuka Purosangue adalah berlainan sama sekali dengan supercar Ferrari sedia ada, di mana penumpang depan juga didatangkan dengan skrin individu di bahagian tersebut.
Aspek keselesaan penumpang turut diutamakan, di mana Ferrari bekerjasama dengan Multimatic untuk membangunkan teknologi True Active Spool Valve (TASV) yang mampu untuk mengawal olengan badan sewaktu pemanduan.
Difahamkan, harga jualan Ferrari Purosangue bermula dari €390,000 (RM1.76 juta).