HENNESSEY UBAH SUAI CORVETTE C8 STINGRAY, 717 HP TORK 865NM!
Jika sebelum ini Hennessey banyak menguar-uarkan tentang projek pikap dan kenderaan utiliti sukan (SUV), pengeluar dari Texas kali ini tampil dengan kereta sport Corvette C8 Stingray.
Corvette generasi kelapan itu dibekalkan enjin LT2 6.2 liter V8 naturally-aspirated yang menghasilkan 496.8 hp (490 bhp) dan tork 630Nm.
Seperti biasa, Hennessey melakukan pengubahsuaian dan kuasa melonjak kepada 717.8 hp (708 bhp) dan tork 865Nm!
Kuasa itu lebih tinggi daripada model andalan C8 Z06 dengan enjin LT6 5.5 liter V8 naturally-aspirated yang berkuasa 679 hp (670 bhp) dan tork 623.6Nm.
Bagi mendapatkan lonjakan kuasa, Hennessey memasang beberapa komponen seperti supercas sentrifugal, sistem pengambilan udara, intercooler udara kepada air dan set ekzos cat-back baharu.
Turut disentuh perisian dengan pemetaan enjin berprestasi tinggi.
Pakej Hennessey H700 Corvette yang ditawarkan ini sesuai untuk Chevrolet C8 Corvette Coupe 2020 hingga 2022.
Ada dua pakej yang ditawarkan dengan set lengkap merangkumi supercas, intercooler, talaan enjin, rim, ekzos dan grafik khas pada harga AS$49,950 (RM214,941.46).
Pilihan rim 19 dan 20 inci didatangkan dalam warna Brushed Aluminum, Satin Black atau Graphite dan warna biru, hitam, perak atau merah untuk grafik badan Hennessey Heritage Livery.
Pakej lebih ringkas pula dengan pengecas berserta waranti pada harga AS$34,950 (RM150,398.80).
Kesemua pakej mempunyai identiti istimewa dengan logo Hennessey dan H700 dan plak nombor bersiri.
Hennessey turut menawarkan penghantaran ke destinasi antarabangsa kepada pelanggan yang berminat untuk mencuba kereta sport buatan Amerika Syarikat ini di negara masing-masing.
BACA: HENNESSEY VENOM F5 REVOLUTION COUPE, 24 UNIT, HARGA MULA RM11.8 JUTA!
BACA: HENNESSEY VELOCIRAPTOR 500 BRONCO, 3.0L V6 TURBO 500HP, 746NM!