Buletin

HENNESSEY VELOCIRAPTOR KALIS AK-47, BAHAN LETUPAN

Selepas membikin perisai perlindungan Ferrari 458 Speciale, AddArmor terlibat dalam satu lagi projek melibatkan Ford F-150 Raptor yang berasaskan Hennessey VelociRaptor.

Dalam menjadikan trak Hennessey VelociRaptor sesuatu yang istimewa dan memperoleh perlindungan padu, AddArmor menggunakan bahan dikenali sebagai Dyneema.

Bahan tersebut dikatakan memiliki keupayaan 15 kali lebih kuat berbanding keluli dan 40 peratus lebih padu daripada Kevlar.

Selain itu, ia turut kalis AK-47 dan alat letupan dalam memastikan keselamatan pemilik dan penumpang kenderaan.

Bukan sahaja perisai perlindungan yang unik dalam jentera tersebut, AddArmor tidak terkecuali melengkapkan trak dengan pakej keselamatan khas.

Di bahagian pintu, terdapat sistem renjatan elektrik, sistem bunyi serangan balas, bampar hadapan dan belakang yang tersembunyi, sistem bateri berkembar, sistem interkom, lampu siren malah keupayaan pengimbas bom.

AddArmor melengkapkan jentera dengan tayar jenis run-flat yang membolehkan kenderaan dipandu sehingga 80 km/j, sistem brek Brembo dan leveling kit. 

Enjin EcoBoost V6 turbo berkembar dipertingkatkan kepada 600 hp yang membolehkan ia memecut mencapai 96 km/j dalam masa 4.2 saat.

Pakej keselamatan yang ditawarkan AddArmor pada jentera itu dianggarkan kira-kira AS$30,000 (RM122,190).

Google ads
Back to top button