Buletin

HONDA BAKAL DEDAH 10 EV DI PASARAN CHINA DALAM TEMPOH 5 TAHUN

Honda merancang memperkenalkan 10 kenderaan elektrik (EV) di pasaran China dalam tempoh lima tahun.

Negara terbabit merupakan pasaran EV terbesar di dunia dan pengeluar Jepun itu bakal melancarkan dua model pertama daripada keluarga e:N Series menjelang musim bunga ini.

e:N Series menampilkan motto Dinamik, Pintar dan Indah.  Ia dipacu arkitektur e:N dan falsafah rekaan unik.

Bagaimanapun, Honda tidak mendedahkan secara terperinci berhubung platform jentera tersebut tetapi ia didatangkan dengan tiga versi iaitu pacuan empat roda, pacuan roda belakang dan pacuan semua roda.

Dua model pertama itu dikenali sebagai e:NS1 dan e:NP1 yang dibangunkan berasaskan model baharu HR-V.

Kedua-duanya merupakan versi crossover yang memaparkan rekaan hampir sama dengan gril penuh, lampu utama lebih tirus dan ruang kabin minimalis.

Model-model berkenaan turut dilengkapi kluster instrument digital dan sistem infotainment saiz besar.

Berikutan paparan infotainment yang besar, ia dibahagikan kepada tiga bahagian dengan panel bawah dikhaskan kepada kawalan iklim.

e:NS1 dan e:NP1 mampu dipandu dengan jarap perjalanan mencecah 500 km serta memecut dari 0-100 km/j dalam tempoh 8 saat sahaja.

Dalam pada itu, tiga varian yang nampak lebih menarik perhatian merupakan konsep model e:N Coupe, e:N GT dan e:N SUV.

Kesemua model konsep tersebut menampilkan rekaan hampir sama dengan garis badan lebih tajam, set lampu bersaiz kecil dan permukaan bersegi.

Model-model futuristik berkenaan dijangka memasuki produksi dalam tempoh lima tahun akan datang. –carscoops

Google ads
Back to top button